comscore
Tumpuan :
Nasional

43 nelayan asing curi hasil laut negara

Khairun Dalilah (dua dari kanan) memeriksa nelayan asing Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia dalam operasi pada Khamis lalu. – FOTO: NSTP

PASIR PUTEH: Seramai 43 nelayan asing ditahan manakala bot, peralatan menangkap ikan serta hasil ikan dengan nilai keseluruhan RM3.86 juta, dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Maritim Kelantan, Komander Maritim, Khairun Dalilah Baharin berkata, suspek berusia 16 hingga 61 tahun itu ditahan bersama empat bot.

Beliau berkata rondaan dilakukan Kapal Maritim Amanah (KM Amanah) di sempadan perairan Malaysia – Vietnam.

Penahanan kesemua 43 nelayan asing itu dibuat menerusi Op Damai, Op Khas Kuda Laut, Op Naga Barat dan Op Tiris.

Katanya, rampasan membabitkan bot, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 7,000 liter.

“Kira-kira 6,000 kilogram (kg) hasil tangkapan ikan turut dirampas dengan tangkapan bot pertama dan kedua pada jam 8.18 pagi dan 9.01 pagi di kedudukan 125 hingga 150 batu nautika dari muara Tok Bali.

“Semasa mengiringi dua bot tahanan, kapal penguat kuasa mengesan dua lagi bot nelayan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berhampiran dan berjaya menahan bot berkenaan pada jam 2.32 petang dan 2.50 petang,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua bot tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan.

Namun, Maritim Malaysia bertindak memintas bot dan melakukan ‘force boarding’ untuk menghentikan bot-bot berkenaan.

Katanya, selepas pegawai dan anggota menaiki bot nelayan Vietnam itu, mereka akhirnya mengalah dan akur memberikan kerjasama.

“Proses membawa balik bot tahanan mengambil masa 30 jam kerana sebuah bot mengalami kerosakan dan terpaksa ditunda sebelum tiba di Jeti Maritim Kelantan jam 4 pagi kelmarin untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Kesemua bot disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.

Khairun Dalilah berkata, empat tekong juga disyaki melanggar Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan kepada pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili mengenai nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

“Kesemua kru akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen diri yang sah.

“Kejayaan ini antara yang terbesar bagi tahun ini dengan rekod jumlah tangkapan termasuk yang ini (empat bot) sebanyak 17 tangkapan bot nelayan asing Vietnam dengan keseluruhan 137 nelayan dan tekong ditahan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN:

Loading...
Terkini