comscore
Tumpuan :
Nasional

Arif minta dihantar ke rumah anak yatim untuk bantu ringankan ibu

Mohd Arif Mohd Zin kini bekerja sebagai juruteknik jantung di sebuah hospital di Brunei. Foto Mohd Arif.

KUALA TERENGGANU: Dibesarkan di rumah anak yatim bukan alasan untuk penghuninya tidak berjaya dalam bidang pendidikan dan kehidupan.

Mohd Arif Mohd Zin, 30, adalah antara contohnya.

Mohd Arif yang kini bekerja sebagai juruteknik jantung di Gleneagles Jerudong Park Medical Centre Brunei Darussalam membuktikan pengalamannya itu mampu membantu beliau keluar daripada kepompong kemiskinan yang membelenggu keluarganya sebelum ini.

Anak ketiga daripada empat beradik yang mesra dipanggil Arif berkata dia memilih untuk menjadi penghuni di Asrama Anak Yatim Darul Falah di Bukit Payong, Marang selepas kematian bapanya pada September 2006 akibat strok.

 

Katanya, keputusan itu dibuat bagi meringankan beban ibu, Rohani A Rahman, 56, yang hanya bekerja sebagai tukang jahit.

“Kehidupan kami sekeluarga berubah selepas kematian ayah (Mohd Zain Mohd Joning) dan saya nampak betapa peritnya ibu mahu membesarkan saya bersama tiga adik beradik dan dua lagi sepupu.”

“Ayah meninggal ketika saya berusia 12 tahun dan saya minta ibu masukkan saya ke Darul Falah pada 2007.”

“Saya ke sana atas kehendak sendiri sebab nak bantu kurangkan beban ibu walaupun tidak dinafikan ia bukan satu perkara yang mudah kerana perlu berjauhan dengan keluarga,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong, Marang.

Arif berkata kehidupan hariannya berubah 100 peratus sebaik sahaja menjadi penghuni di asrama berkenaan namun semuanya diketepikan demi melihat kebahagian ibunya.

Katanya, perjalanan hidupnya dipermudahkan apabila berjaya menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan Teknologi Kardiovaskular di Kolej Islam Sains dan Teknologi di Bachok, Kelantan 2012.

“Sebaik menamatkan pengajian pada 2015, saya diterima bekerja di Sri Kota Specialist Medical Centre di Klang bermula 2015 hingga 2021.”

“Selepas hampir enam tahun bekerja di Klang, saya cuba mencari kerja baharu kerana mahu mencari pengalaman dan saya kini bekerja di Brunei bermula Ogos 2021.”

“Sekarang ini, saya sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang sama di Management & Science University (MSU) Shah Alam dan InshaAllah akan tamat pada Februari tahun depan,” katanya.

Arif berkata kekurangan yang ada tidak dijadikan alasan sebaliknya menjadi pendorong kepadanya untuk mengubah kehidupannya.

“Niat saya untuk ibu dan mahu dia hidup selesa, Alhamdulliah, syukur dengan apa kami peroleh setakat ini.”

Kejayaan tidak akan datang tanpa pengorbanan dan tentunya ibu, adik beradik dan semua yang berada di Darul Falah adalah insan penting yang membawa kepada kejayaan saya hari ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini