comscore
Tumpuan :
Sukan

Lakshya optimis India mampu mempertahankan Piala Thomas 

Lakshya Sen mendudukki ranking ke-13 dunia.-Foto: BWF

PETALING JAYA: Mempertahankan kejuaraan lebih sukar daripada mencapainya, ungkapan itu sering diperkatakan dan mungkin sedang diperhalusi skuad Piala Thomas India yang akan memulakan misi mengekalkan gelaran yang dimiliki.

India akan memulakan saingan Kumpulan C menentang Thailand esok.

“Memang ada tekanan, tetapi kami ada keyakinan,” kata perseorangan India, Lakshya Sen yang dipetik daripada laman sosial Persekutuan Badminton Dunia, BWF.

Lakshya yang mendudukki ranking ke-13 dunia hampir pasti tampil selaku perseorangan kedua India di belakang Prannoy H.S yang berada di kedudukan ke-9 dunia.

Menentang Thailand esok, Lakshya mungkin berdepan perseorangan kedua lawan Kantaphon Wangcharoen.

“Pasukan kami memiliki kekuatan dan mampu menewaskan mana-mana pasukan di dunia,” ujar Lakshya.

Mungkin keyakinan pemain kelahiran Almora, India itu berasaskan kekuatan agak seimbang perseorangan dan beregu negaranya  yang bakal menampilkan pasangan nombor tiga dunia Satwiksairaj Rankireddy – Chirag Shetty.

Edisi 2022 di Thailand, India mencipta sejarah muncul juara buat kali pertama selepas mengejutkan Indonesia 3-0 pada aksi final.

Menuju perlawanan akhir, India menundukkan Malaysia 3-2 pada suku akhir dan menumpaskan Denmark 3-2 di separuh akhir.

Sebagai rekod, kejayaan mengungguli edisi 2022 menyaksikan India menyertai senarai lima negara yang pernah bergelar juara Piala Thomas iaitu Indonesia, China, Malaysia, Denmark dan Jepun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini