comscore
Tumpuan :
Nasional

Aspek pengurusan pekerja asing akan ditambah baik – KDN, KSM

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) komited dalam usaha menambah baik aspek pengurusan pekerja asing di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu membabitkan ruang lingkup bersama kedua-dua kementerian itu dibincang dalam pertemuan bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di Putrajaya, semalam.

Saifuddin Nasution berkata, turut dibincangkan ialah kes eksploitasi pekerja asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) menerima kunjungan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim (tengah) di pejabatnya, semalam. – FOTO: Saifuddin Nasution Ismail / Facebook

“Pertemuan petang semalam memfokuskan isu yang melibatkan ruang lingkup bersama KDN dan KSM iaitu hal pengurusan pekerja asing.

“Isu hangat melibatkan kes eksploitasi pekerja asing menjadi topik serius yang dibincangkan, selain perancangan masa depan bagi 2024 terkait elemen penambahbaikan dalam aspek pengurusan pekerja asing di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pertemuan itu juga menyentuh beberapa hal lain berkaitan yang diperincikan, dengan kedua-dua pihak bersetuju mengeluarkan kenyataan media bersama dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan terhadap persoalan berbangkit.

Sebelum ini, Sim dilapor akan mengadakan perbincangan dengan KDN mengenai isu pekerja asing dalam masa terdekat termasuk cadangan meletakkan urusan berkaitan golongan itu di bawah satu kementerian sahaja.

Beliau juga meminta mengadakan pertemuan dengan Saifuddin Nasution bagi membincangkan dasar dan operasi pekerja asing di Malaysia secara terperinci terutamanya berkenaan bidang kuasa kedua-dua kementerian, sebelum pengumuman mengenainya dibuat. – BERNAMA

Loading...
Terkini