comscore
Tumpuan :
Nasional

Pihak tipu kuota pekerja asing akan disenarai hitam – KSM

 

GOMBAK: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menyenarai hitam syarikat, majikan atau ejen yang dikesan terbabit dalam penipuan kuota pengambilan pekerja asing.

Menterinya, Steven Sim berkata, majikan atau ejen perlu mewujudkan pekerjaan bagi setiap pekerja asing yang ingin dibawa masuk ke negara ini.

Tegasnya, majikan juga wajib membayar gaji pekerja asing yang dibawa masuk secara sah ke negara ini tetapi tidak mendapat pekerjaan atas sebab tertentu.

“Sekiranya tiada kerja atas sebab-sebab tertentu, majikan wajib memberikan pekerja asing terbabit gaji iaitu bermula mereka dibawa masuk ke dalam negara.

“Selepas pekerja asing berkenaan menandatangani kontrak kerja, mereka wajib dibayar gaji oleh majikan,” katanya ketika sidang media n Program Kesuma MADANI sempena sambutan Thaipusam di Pejabat Pengurusan Kuil Sri Subramaniar Swamy di sini, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam Malaysia, Datuk Seri M Ramachelvam, yang menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dengan membekukan kuota dan pengambilan pekerja asing dan menyenarai hitam pihak terbabit.

Semalam, Ramachelvam turut mencadangkan kerajaan mengambil tindakan terhadap pengarah dan pemegang saham syarikat terbabit sebagai hukuman terhadap pihak yang terbabit dalam segenap peringkat penipuan terbabit.

Sim berkata, tindakan berkenaan boleh dikenakan mengikut Akta Kerja 1955, sekali gus mengawal salah guna pihak tidak bertanggungjawab terhadap kesalahan terbabit.

Mengulas isu Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang membantah tindakan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) menaikkan kadar yuran dan kekerapan pemeriksaan perubatan pekerja asing tanpa perbincangan, Sim berkata, KSM akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perkara itu.

Katanya, FOMEMA adalah di bawah KKM dan KSM akan melihat sama ada cadangan itu sesuai atau sebaliknya.

Semalam, Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman meminta kerajaan berbincang dengan pihak berkepentingan mengenai kenaikan yuran dan kekerapan pemeriksaan perubatan seperti diumumkan FOMEMA dan mahu langkah itu digantung.

Beliau berkata, majikan hanya mengetahui mengenai kenaikan yuran dan kekerapan pemeriksaan perubatan pekerja asing setelah melayari laman web FOMEMA.

Loading...
Terkini