comscore
Tumpuan :
Nasional

Awas! Scammer derma Gaza tagih simpati

Kesan kemusnahan akibat serangan udara rejim Zionis ke atas Gaza. – FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR : Polis menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika menderma terutama ketika isu peperangan di Gaza, Palestin bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihak tidak bertanggungjawab sering mengambil kesempatan ke atas rakyat di negara ini yang sangat dermawan apabila berlaku sebarang insiden.

Beliau menasihatkan orang ramai melakukan pengesahan terlebih dulu sekiranya ada pihak meminta sumbangan derma untuk Palestin.

Tegasnya, walaupun jumlah derma itu hanya RM100 atau RM200, tetapi ia tetap membuka ruang kepada penipuan.

“Mereka akan menggunakan rasa simpati kita untuk membuat penipuan dan tidak tahu di mana wang itu disalurkan.

“Jadi jika betul hendak menderma salurkan ke tabung disediakan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar kerana tidak salah kita membuat semakan dulu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ramli juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terus menderma jika melihat kewujudan tabung derma itu di Facebook atau Instagram.

“Bagaimanapun buat masa ini polis belum menerima laporan berhubung taktik penipuan ini namun jika ada mereka diminta tampil melaporkannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, orang ramai dinasihatkan membuat sumbangan kepada NGO yang sudah lama membantu Palestin dan bukan yang muncul secara tiba-tiba.

“Seperti NGO kami yang bekerjasama dengan NGO di bawah dua koalisi, MyAqsa Defenders dan Aid4Palestine, Insya-Allah, sebab kami yang diamanahkan sampaikan sumbangan di sana dan pantau kebanyakan projek,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Berhad, Muhd Farhan Muhd Fadhil turut menasihatkan orang ramai perlu ada ilmu sebelum menghulurkan bantuan dan memilih NGO yang tepat.

“Macam Aman Palestin sendiri kita ada tujuh kakitangan di Gaza yang sedang bertungkus-lumus membantu mangsa yang memerlukan di sana.

“Setakat kelmarin, kita sudah menyalurkan 100,000 USD (RM471,500) ke sana bagi merawat mangsa yang cedera di hospital selain keperluan kerusi roda, anggota palsu, pakaian sejuk, tilam, selimut dan makanan,” katanya.

Katanya, mereka yang kehilangan rumah kini ditempatkan di 64 sekolah di Gaza.

Loading...
Terkini