comscore
Tumpuan :
Nasional

Ayah reda dengan pemergian Wan Muhammad Haikal

Wan Hussin Wan Ishak bapa kepada pesilat, Wan Muhammad Haikal yang meninggal dunia awal hari ini. FOTO: NSTP

BESUT: Memang sedih tapi kita reda sebab kita tahu semua orang akan pergi ke sana dan sudah sampai ajalnya, itu kata Wan Hussin Wan Ishak, ayah kepada pesilat Terengganu, Wan Muhammad Haikal yang disahkan maut awal hari ini.

Menurut Wan Hussin, jenazah Wan Muhammad Haikal akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Alor Selising di kampungnya di sini.

“Saya tidak salahkan mana-mana pihak dan reda dengan kejadian menimpa kerana ia berlaku di luar kawalan,” katanya.

Mengimbas kejadian itu, Wan Hussin berkata dia mula rasa tidak sedap hati dan merasa sesuatu dengan keadaan anak apabila terlalu kerap menerima panggilan dari pihak Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.

Wan Hussin memberitahu dia hanya mampu menguatkan hati dan tidak mahu mengikut perasaan kerana tidak mahu isteri beliau panik.

Menurut Wan Hussin, dia bersama isteri bertolak ke Seremban kira-kira jam 11.30 malam semalam dan tiba di HTJ pada jam 5 pagi tadi.

Katanya, sepanjang perjalanan mereka tidak putus-putus berdoa dan berharap ada keajaiban berlaku.

“Sebagai seorang bapa, mesti ada (rasa berdebar-debar) tetapi sebab saya pergi dengan isteri dan kalau saya ikut perasan takut dia lebih lagi, jadi saya perlu kuat dan tidak terlalu melayan perasaan. Akhirnya rasa tidak sedap hati itu terjawab apabila dimaklumkan anak sudah tiada,” ujarnya sayu.

Wan Muhammad Haikal, 21, meninggal dunia apabila rebah dan tidak sedarkan diri dipercayai selepas terkena tendangan pihak lawan pada peringkat suku akhir pertandingan silat praSukma anjuran Persatuan Silat Negeri Sembilan di Seremban.

Dia yang segera dikejarkan ke HTJ bagi menerima rawatan, disahkan meninggal dunia jam 1.20 pagi tadi.

Bedah siasat kemudian mendapati Wan Muhammad Haikal meninggal dunia akibat pendarahan otak.

Kejadian menyebabkan pertandingan peringkat separuh akhir dan akhir yang dijadualkan hari ini dibatalkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini