comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ayob Khan nafi polis tak cekap, The 1975 balik UK 6 jam selepas konsert 

 

KUALA LUMPUR: Kumpulan The 1975 yang mencetuskan kontroversi kerana aksi biadab di pentas Good Vibes 2023 di Sepang, Jumaat lalu pulang ke negara asal enam jam selepas membuat persembahan, menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) lambat mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan.

“Insiden ini berlaku pada 21 Julai pada jam 11.30 malam, kita difahamkan selepas insiden berkenaan konsert terbabit dihentikan dan kumpulan ini berlepas pulang ke United Kingdom (UK) pada jam 5.30 pagi.

“Jadi dalam tempoh enam jam sahaja mereka sudah berlepas pulang dan laporan polis pertama yang diterima adalah pada keesokan hari pada jam 2 petang, jadi kita tidak sempat mengambil tindakan kerana mereka sudah berlepas balik,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bendera sempena Kejohanan World Police dan Fire Games Winnipeg 2023 di Bukit Aman.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, The 1975 berlepas pulang ke United Kingdom (UK) pada jam 5.30 pagi.

Beliau berkata, PDRM akan berurusan dengan pihak berkuasa UK sekiranya terdapat proses pendakwaan.

“Kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan di negara ini, jadi kita tidak boleh memohon notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) kecuali melibatkan kesalahan yang besar, kita akan berurusan dengan pihak UK.

“Saya yakin selepas ini Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) akan lebih berhati-hati,” katanya.

Ayob Khan berkata, polis sudah mengambil 13 keterangan bagi membantu siasatan berhubung tindakan kumpulan berkenaan.

“Enam keterangan diambil dari pengadu, seorang penganjur dan enam Puspal. Setakat ini pihak polis menerima 18 laporan, lapan daripadanya daripada kontinjen Selangor dan 10 membabitkan kontinjen luar.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan persembahan kumpulan The 1975 itu dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara pada Festival Good Vibes di Sepang, Jumaat lalu.

Loading...
Terkini