comscore
Tumpuan :
Nasional

Mungkin berlaku kejadian tolak-menolak – Ayob Khan

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, ketika ditemui wakil media selepas meninjau proses mengundi di SJKC Pei Chai, Simpang Jeram Muar. -Foto: NSTP

MUAR: Susulan kes dua wartawan wanita yang mendakwa menjadi mangsa kekasaran pegawai pengiring seorang menteri ketika liputan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru, Selasa lalu, polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, pihaknya memberi ruang kepada mereka yang terbabit membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Mungkin berlaku kejadian tolak-menolak dan itu juga mungkin dakwaan daripada pihak media.

Bagaimanapun, kita tunggu penjelasan daripada satu lagi pihak.

“Kita tunggu kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan oleh kementerian yang terbabit,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan tinjauan di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chai, Bakri di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak, dalam kenyataannya, berkata ketika sidang media menteri terbabit, beberapa pegawai pengiring telah menghalang pengamal media.

Katanya, pengiring terbabit didakwa menyentuh tangan seorang wartawan wanita yang sedang merakam sidang media terbabit.

“Pegawai pengiring juga mencubit belakang pinggang seorang lagi wartawan wanita beberapa kali bertujuan untuk menghalangnya melaksanakan tugas semasa sidang media,” katanya.

Loading...
Terkini