comscore
Tumpuan :
Nasional

Bahan kimia dikhuatiri punca ikan mati di sungai sekitar Klang

Oleh: Aslina Abu Bakar

KLANG: Ribuan bangkai ikan ditemui terapung dan terdampar di sekitar Sungai Puluh, Sungai Che Wang dan Sungai Keramat sejak petang semalam.

Kejadian itu disedari nelayan yang keluar menangkap ikan di sekitar kawasan berkenaan ketika air pasang.

Kematian sumber makanan itu berkemungkinan berpunca daripada kesan limpahan pancuran air ketika proses memadamkan kebakaran di pelabuhan Klang yang berlaku awal pagi Khamis lalu sehingga mengalirkan bahan kimia ke laut.

Bau bahan kimia yang kuat di sekitar sungai menguatkan lagi dakwaan pencemaran berpunca daripada sisa kimia dari Pelabuhan Klang.

Nelayan, Mohd Janin berkata, pencemaran air di sungai itu mengakibatkan berlaku enapan kerana ikan yang mati kebanyakannya adalah spesis ikan yang hidup di dasar dan lebih lasak.

“Kejadian ini menjejaskan lebih 150 nelayan dari 10 pengakalan di daerah Klang yang mencari sumber pendapatan di sini.

“Ia adalah kejadian paling serius pernah berlaku sejak saya menjadi nelayan 30 tahun lalu,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata pegawai perikanan Daerah Klang sudahpun diarahkan turun padang dan melakukan siasatan  kes berkenaan sejak pagi tadi.

“Pihak kami telahpun mengambil sampel air di kawasan yang tercemar dan sampel berkenaan telah kita hantar kepada Pusat Biosecurity untuk dibuat analisa dan siasatan lanjut.

Penyelaras DUN Sementa, Afrishah Azizi berkata pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada nelayan yang terjejas.

“Kita akan fikirkan apa bantuan yang akan dapat diberikan kerana kami dapati pencemaran ini berkemungkinan akan menjejaskan ekonomi nelayan untuk tempoh 3 bulan.

“Malah, kami juga menasihatkan nelayan supaya tidak menangkap ikan di kawasan ini kerana bimbang sumber ikan berbahaya untuk dimakan,” katanya.

Loading...
Terkini