comscore
Tumpuan :
Nasional

Bangunan sekolah empat tingkat sudah siap terbiar

 

JERANTUT: Bangunan baru empat tingkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Padang Piol, dekat sini yang telah siap dibina kira-kira empat tahun lalu masih tidak boleh digunakan lagi.

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Penjaga (PIBG), Mustafa Osman, 61, berkata ibu bapa serta penjaga di Felda itu hairan melihat keadaan premis bangunan empat tingkat masih tidak diserahkan kepada pihak sekolah untuk kemudahan pembelajaran.

“Saya difahamkan sudah hampir empat tahun bangunan ini siap tetapi masih tidak digunakan lagi,” katanya.

Bangunan empat tingkat ini dilengkapi makmal sains, bilik darjah, bilik guru dan beberapa bilik khas lain terbiar begitu sahaja.

Katanya, keadaan itu serba sedikit telah menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran murid dalam matapelajaran sains dan juga kegunaan bilik darjah yang lebih selesa.

“Sedih bangunan yang dibina dengan kos jutaan ringgit terbiar begitu sahaja, sepatutnya boleh digunakan untuk kemudahan murid dan guru dapat menjalankan tugas dengan selesa,” katanya.

Seorang penjaga mahu dikenali sebagai Suhaimi, 56, berkata dia difahamkan pihak kontraktor didakwa membina bangunan itu tidak mengikut spekfikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Bagaimana kontraktor bangunan membina tanpa mengikut spekfikasi yang ditetapkan dan sepatutnya akur kepada pelan binaan yang ada.”

“Ini menyebabkan bangunan empat tingkat dengan lebar kira-kira 40 meter dan panjang 50 meter masih tidak diserahkan kepada pihak sekolah untuk digunakan,” katanya.

Katanya, diharap pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turun padang meninjau dan menyelesaikan segera masalah itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini