comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir jejas pertanian Johor, kerugian cecah RM35.5 juta

 

FOTO: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Bencana banjir yang melanda Johor pada 28 Februari hingga kini telah menyebabkan sektor pertanian negeri itu mencatat kerugian RM35.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, berkata banjir buruk yang berlaku itu turut menjejaskan seramai 4,862 usahawan tani di negeri ini.

Katanya, usahawan tani terbabit meliputi pelbagai subsektor tanaman, penternakan, perikanan dan industri asas tani bimbingan jabatan bawah portfolio sektor pertanian

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, angka sebenar jumlah kerugian dan usahawan tani terjejas dijangka lebih tinggi susulan banjir masih melanda Batu Pahat dan Muar.

“Setakat ini, sektor pertanian Johor mencatatkan kerugian berjumlah RM35.5 juta dengan 4,862 usahawan tani terjejas. Namun, jumlah sebenar kerugian sektor pertanian dan usahawan tani terjejas hanya akan diketahui selepas banjir di Batu Pahat dan Muar pulih.

“Bagi mempercepatkan pelaksanaan bantuan kepada pengusaha yang terjejas banjir, langkah alternatif telah diambil oleh jabatan dan agensi berkaitan. Ia termasuk membuat bancian awal ke kawasan terjejas banjir untuk mendapatkan anggaran awal kerugian dan juga setelah banjir surut.

“Secara keseluruhan, kerajaan amat mengambil berat nasib mangsa banjir, terutama dalam kalangan pengusaha sektor pertanian.

“Selain mengambil kira kebajikan pengusaha, bantuan diberikan juga penting bagi pelaksanaan semula aktiviti pengeluaran agromakanan untuk menjamin sekuriti makanan negeri,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nor Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) mengenai usaha kerajaan membantu usahawan dalam sektor pertanian dan penternakan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.

Dalam pada itu, Zahari berkata, Kerajaan Johor sudah berbincang dengan agensi berkaitan dan memberi jaminan peruntukan menerusi pelbagai agensi bawah kerajaan negeri akan disalurkan kepada mangsa banjir dalam masa sebulan selepas membuat penilaian serta pengesahan.

Menyentuh dakwaan birokrasi dihadapi usahawan tani pula, beliau berkata, pihaknya maklum akan perkara itu dan sudah mengingatkan jabatan supaya tiada birokrasi serta menjalankan penilaian dengan betul.

“Dua hari lalu, saya mendapat makluman bahawa ada pihak yang mohon lain, dapat barang lain. Yang ini pun saya telah membuat teguran pada jabatan berkaitan. Saya akan mendapatkan maklumat kenapa ia berlaku.

“Contohnya, mereka memerlukan pagar, namun dapat mesin rumput. Ini tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak pasti di mana silapnya tetapi saya cuba membantu mereka yang terkesan banjir,” katanya.

Loading...
Terkini