comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir: Pelajar dan murid dibenarkan berpakaian biasa esok

Seorang penduduk Kampung Sepuleh, Meranti, Pasir Mas, sedang melihat buku sekolah dan kasut anaknya rosak di tenggelami banjir.- Foto: NSTP

KOTA BHARU: Pelajar dan murid yang terjejas banjir diberi kelonggaran berpakaian biasa ke sekolah untuk sesi persekolahan bermula esok.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz, berkata pihaknya memahami kesukaran mangsa banjir di negeri itu yang kebanyakan kelengkapan sekolah terjejas akibat bencana itu baru-baru ini.

“Kita sentiasa fleksibal dan ini juga arahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membenarkan pelajar dan murid berpakaian biasa ke sekolah.

“Pada masa sama, kita akan berusaha untuk mendapatkan bantuan yangs esuai bagi meringankan beban mereka. Saya mengingatkan ibu bapa jangan khuatir dan bimbang sekiranya pakaian sekolah anak tenggelam banjir.

“Apa yang penting murid dapat hadir ke sekolah dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan sempurna. Kita amat memahami kerana mungkin ada murid yang terjejas pakiannya akibat ditengelami banjir di rumah mereka,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, sehingga petang ini, dua sekolah masih dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh.

“Kita serahkan kepada sekolah berkenaan dan sekiranya masih terdapat ramai mangsa yang menggunakan kelas, sekolah berkenaan boleh melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya.

Pada masa sama katanya, sebanyak RM328,700 kos kerugian direkodkan membabitkan sekolah di tiga daerah iaitu Kuala Krai, Pasir Mas dan Tumpati yang terjejas banjir.

Loading...
Terkini