comscore
Tumpuan :
Nasional

Bantu peniaga perbaharui, cetak lesen perniagaan

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PETALING JAYA : Lebih 21,370 pemegang lesen tred perniagaan dan perindustrian di Petaling Jaya, Selangor kini tidak perlu lagi menunggu lama untuk membuat pembaharuan dan pencetakan lesen mereka.

 

Sebaliknya mereka kini boleh mendapatkan perkhidmatan itu menerusi kemudahan kiosk yang disediakan di sekitar bandar raya berkenaan.

Inisiatif yang julung kali diperkenalkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu dilaksanakan bagi mengurangkan masa menunggu di kaunter sepertimana yang dilakukan sebelum ini.

Menerusi inisiatif itu, sebanyak lapan lokasi menyediakan kiosk tersebut, antaranya di Ibu Pejabat MBPJ, Menara MBPJ, Pejabat Cawangan Kota Damansara, dan Kaunter Pandu lalu.

Selain di Pasar Jalan Othman, Pasar Taman Megah, Pasar PJKita SD5 dan Gerai Makan SS 22 Atria

Menurut Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Aznan Hassan – dengan adanya insiatif itu, ia dapat membantu peniaga dan penjaja untuk mendapatkan perkhidmatan pembaharuan dan pencetakan lesen.

“Peniaga mempunyai waktu dan ruang yang banyak untuk mereka mengatur masa sendiri untuk mencetak lesen.

“Jadi tidak ada lagi alasan mereka tidak sempat untuk perbaharui lesen atau mencetak lesen kerana MBPJ telah menyediakan kemudahan ini.” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Cetakan Lesen di kiosk-kiosk MBPJ di sini, siang tadi.

Tambahnya, kemudahan tersebut hanya dapat dimanfaatkan oleh pemegang lesen bagi kategori Serta Merta dan Kritikal yang tidak melibatkan pembaharuan Kebenaran Merancang.

Katanya, kiosk tersebut juga menyediakan perkhidmatan lain seperti pembayaran cukai taksiran, kompaun, tempahan dewan, dan bil pelbagai.

Sementara itu, inisiatif tersebut disambut baik golongan peniaga kerana memudahkan urusan dan tidak lagi perlu beratur panjang.

“Saya tidak perlu ambil nombor untuk menunggu, kerana prosesnya hanya boleh terus letak kad pengenalan dan terus buat bayaran untuk mencetak lesen.

“Inisiatif ini menjimatkan masa” ujar Peniaga, Ong Mei Fang.

“Lagi mudah la, senang dan tiada lagi nak beratur. Nak pula cari parkir lagi di sini memang payah dan susah di kawasan sini.” kata Peniaga, Mohd Faizal Azmi.

Kiosk Pembaharuan dan Pencetakan Lesen MBPJ yang terletak di 8 lokasi itu, beroperasi setiap hari bermula jam 7.30 pagi hingga 9 malam.

Manakala Kaunter Pandu lalu dan Pejabat Cawangan Kota Damansara hanya beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.

Loading...
Terkini