comscore
Tumpuan :
Nasional

Batal Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman tepat, jaga kelestarian ekosistem Pulau Tioman

Oleh: Khairul Rizuan Azizan

PETALING JAYA: Langkah kerajaan membatalkan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman dianggap tepat bagi menjaga kelestarian ekosistem antara pulau tercantik di dunia itu.

Menurut Pakar Alam Sekitar, Prof. Madya. Dr. Haliza Abdul, ia jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutamanya dalam menyeimbangkan antara aspek kesihatan yang baik dan kesejahteraan rakyat (SDG 3: good health and well being).

“Pembatalan projek berkenaan sangat tepat kerana impak yang ketara terhadap alam sekitar setempat khususnya dan masyarakat umumnya. Keputusan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Malaysia dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutama SDG 3 (good health and well-being), SDG 14 (life below water) dan SDG (life on land),” katanya.

Prof. Madya. Dr. Haliza Abdul.

Tambahnya, Pulau Tioman sememangnya terkenal dengan keindahan alam semulajadi dan kekayaan kepelbagaian biologinya yang menjadi tumpuan utama pelancong dari dalam dan luar negara.

Justeru jika pembangunan itu diteruskan, tidak mustahil ia berisiko menyebabkan kerosakan fizikal dan kehilangan habitat hidupan marin serta kepelbagaian biologi Pulau Tioman.

“Laporan Kesan Penilaian Alam Sekeliling (EIA) sendiri mengenalpasti kesan negatif terhadap 120 spesies batu karang keras, 12 spesies batu karang lembut, termasuk 22 spesies akan terancam. Malah 125 spesies ikan, 22 spesies rumput dan rumpai laut serta alga, 7 spesies mamalia termasuk 7 spesies penyu,” katanya kepada Buletin TV3.

Sebarang risiko kemusnahan ekosistem Pulau Tioman katanya akan memberikan impak besar kepada pendapatan penduduk yang bergantung kepada sektor pelancongan alam semulajadi dan pastinya pendapatan nelayan turut terjejas.

“Bagi memastikan habitat terumbu karang dikekalkan, aktiviti pelancongan harus dijalankan secara mampan dengan menitikberatkan kesejahteraan alam sekitar. Hal ini kerana ekosistem pulau adalah sensitif dan daya tampung (carrying capacity) nya perlu diambilkira dengan memastikan kedatangan bilangan pelancong tidak melebihi keupayaan ekosistem semula jadi pulau tioman menampungnya,” katanya.

Terdahulu Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan kerajaan bersetuju untuk tidak meneruskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baharu yang membabitkan 76 peratus kawasan tambakan laut.

Keputusan itu selari dengan misi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli dan alam sekitar secara optimum dan bertanggungjawab.

Cadangan pembinaan itu katanya berpotensi memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuk ekologi marin sekiranya diteruskan.

Loading...
Terkini