comscore
Tumpuan :
Nasional

Batuk kokol: Bayi, kanak-kanak paling berisiko dijangkiti – Pakar 

Foto hiasan

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Pertussis atau batuk kokol adalah sejenis jangkitan bakteria di bahagian saluran pernafasan.

Ia merebak melalui titisan cecair pernafasan seperti bersin atau batuk daripada individu yang terkena penyakit tersebut.

Presiden Persatuan Kawalan Infeksi & Penyakit Berjangkit Malaysia (MyICID), Dr Shaharudeen Kamaludeen

Presiden Persatuan Kawalan Infeksi & Penyakit Berjangkit Malaysia (MyICID), Dr Shaharudeen Kamaludeen, berkata selesema, lesu dan demam berpanjangan sehingga satu atau dua minggu merupakan simptom awal dijangkiti batuk kokol.

Katanya, masalah akan dihadapi pesakit apabila batuk teruk berlaku selama dua hingga tiga bulan yang boleh menyebabkan muntah, kurang selera makan dan berterusan sehingga berlakunya pelbagai komplikasi.

“Penyakit ini sangat berbahaya untuk golongan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi batuk kokol.

“Golongan yang berisiko tinggi mendapati komplikasi secara umumnya adalah bayi atau kanak kanak yang muda” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

“Komplikasi yang boleh berlaku kepada pesakit adalah apnea (berhenti bernafas) dan pneumonia (jangkitan pada bahagian paru-paru),” tambahnya.

Jelas beliau, terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelak daripada dijangkiti batuk kokol antaranya vaksin pertussis.

Beliau berkata, vaksin pertussis sering diberikan sebagai vaksin kombinasi dan ia termasuk dalam program imunisasi negara.

Selain itu, katanya, kontak rapat kepada pesakit yang dijangkiti batuk kokol boleh diberikan ubat pencegahan bagi mengelak daripada terkena jangkitan itu.

Namun, kontak rapat pesakit perlu berbincang dengan pegawai perubatan terlebih dahulu.

Tegasnya, pesakit batuk kokol yang sedang menjalani rawatan tidak boleh bergaul dengan individu berisiko tinggi selama 5 hari selepas tamat terapi antibiotik.

“Jika terkena penyakit ini, anda dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di hospital, untuk sahkan diagnosis batuk kokol, dan mulakan terapi antibiotik mengikut nasihat pegawai perubatan,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa ibu bapa memastikan anak mereka mendapatkan imunisasi yang lengkap mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan bagi melindungi mereka daripada pertussis.

Loading...
Terkini