comscore
Tumpuan :
Nasional

Batuk kokol: Ibu bapa digesa dapatkan imunisasi untuk anak-anak

 

Foto hiasan

Oleh : Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa ibu bapa memastikan anak mereka mendapatkan imunisasi yang lengkap mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan bagi melindungi mereka daripada Pertussis, juga dikenali sebagai batuk kokol.

Gesaan itu dibuat selepas tiga kes Pertussis dilaporkan di Rompin, Pahang membabitkan seorang ibu dan dua anaknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Radzi Abu Hassan berkata tiada kes baharu dilaporkan di sana dan ketiga-tiga pesakit berada dalam keadaan stabil.

“Keutamaan KKM adalah untuk memastikan liputan imunisasi Pertussis di kalangan kanak-kanak di negara ini kekal melebihi 95% untuk memastikan golongan ini dilindungi daripada mendapat jangkitan.

“Kanak-kanak terutama bayi adalah kumpulan yang rentan kepada jangkitan Pertussis,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, vaksin Pertussis secara rutin diberikan kepada kanak-kanak ketika mereka berumur dua, tiga, lima dan 18 bulan.

Beliau berkata Malaysia merekodkan 329 kes dan 23 kematian akibat jangkitan itu tahun ini sehingga 19 Ogos dan jumlah itu adalah separuh daripada 697 kes yang dilaporkan pada 2019 dalam tempoh sama.

Beliau berkata, trend kes batuk kokol di Malaysia adalah selari dengan perkembangan global, apabila negara-negara keluar daripada sekatan Covid-19.

“Walau bagaimanapun peningkatan yang berlaku selepas pelonggaran PKP ini adalah lebih rendah berbanding purata tahunan bilangan kes sebelum pandemik COVID19.

“Ini menunjukkan bahawa jangkitan Pertussis semasa di negara ini adalah terkawal dan tidak membimbangkan,” katanya.

Muhammad Radzi berkata, daripada 329 kes dilaporkan, 219 kes adalah warganegara manakala 110 kes lagi merupakan bukan warganegara.

“Sabah 181 kes, Selangor 51 kes, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya 15 kes, Pahang dan Perak masing-masing 13 kes, Melaka dan Negeri Sembilan masing-masing 12 kes, Johor 9 kes, Sarawak 8 kes, Kelantan 7 kes, Kedah dan Terengganu
masing-masing 3 kes, serta Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing satu kes.

“Tiada kes dilaporkan di Perlis,” katanya.

Jelasnya, bayi berumur bawah 12 bulan adalah kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 189 kes manakala kanak-kanak berumur 1 hingga 10 tahun mencatatkan sebanyak 94 kes dan selebihnya berumur 11 tahun dan ke atas.

Loading...
Terkini