comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bawa keluar rakyat Malaysia di Iran: MINDEF tunggu maklumat Wisma Putra

 

KUALA KUBU BHARU: Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersiap siaga untuk membantu Kementerian Luar sekiranya ada keperluan membawa keluar rakyat Malaysia di Iran susulan konflik yang berlaku antara negara itu dengan rejim Zionis.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Iran tertakluk keputusan Wisma Putra.

Bagaimanapun beliau berkata, sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan dalam perkara itu, terlebih dahulu perlu menentu sahih bahawa Iran benar-benar di ambang peperangan.

Datuk Seri Mohamed Khaled (kanan) ketika melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Taman Seruling di Kuala Kubu Bharu.

“Semua negara dan dunia mahu yang terbaik iaitu supaya konflik ini tidak berpanjangan, namun kalau kita lihat pun tidak tahu sumber berita yang benar-benar sahih (serangan balas antara Iran dan Israel)

“Kalau kita lihat tindak balas, kata kononnya dron daripada Israel dihantar ke Isfahan, kawasan yang memang terdapatnya pusat nuklear di Iran, yang dron tersebut semuanya sudah berjaya ditembak jatuh.. tapi tak ada lebih daripada itu.

“Jadi sumbernya (kesahihan berita) tidak pasti, pihak Israel tidak mengatakan apa-apa, pihak Amerika Syarikat (AS) pun tidak mengatakan apa-apa. Apa yang kita dengar hanya daripada TikTok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan bagi meninjau sendiri perkembangan proses senggara dan baik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Taman Seruling, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Dr Mohd Bakhari Ismail; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri dan Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Reizal Arif Ismail.

Dalam pada itu, Mohamad Khaled berkata kerajaan semestinya akan mengambil apa sahaja tindakan sewajarnya untuk memastikan rakyat Malaysia yang berada di mana sahaja selamat dan terhindar sebarang konflik peperangan.

“Setakat ini tiada (peperangan di Iran), tidak lebih daripada serangan dron tempoh hari.

“Sehubungan itu, kita (MINDEF) bergantung kepada Wisma Putra… mereka akan tahu semua (perkembangan situasi di Iran).

“Tak bermakna Angkatan Tentera (ATM) disuruh pergi ke sana (Iran), tapi sekiranya perlu, kita kena kaji dahulu logistik dan laluan yang boleh kita masuk dan tidak boleh masuk.

“Sekiranya ini berlaku, ‘frontliner’ adalah Kementerian Luar dan selepas itu, barulah beritahu kita (MINDEF) apa peranan yang kita boleh mainkan, kerana sebagai tentera tidak boleh terus masuk ke negara orang,” katanya.

Jumaat lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata kerajaan bersedia membawa pulang warga Malaysia di Iran sekiranya perkembangan konflik antara negara itu dan rejim Zionis semakin membimbangkan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga dijadual memperincikan sekali lagi tindakan susulan yang bakal diambil, susulan serangan terkini di Isfahan, Iran yang dilakukan rejim Zionis.

Pada 13 April lalu, Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan 1 April ke atas Konsulat Iran di Damsyik, Syria yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, termasuk tujuh penasihat tentera.

Beberapa peluru berpandu dilaporkan melanda wilayah Israel, satu daripadanya merosakkan kemudahan ketenteraan Israel di selatan negara itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini