KOTA BHARU: Adik mangsa tragedi kereta dihempap pokok tumbang, malam tadi, Nik Atikah, 35 ketika ditemui berkata kakaknya adalah anak sulung daripada lapan beradik dan tinggal di belakang Sekolah Menengah (SMK) Kok Lanas, di sini.
Dalam kejadian itu, Nik Amirah Nik Ab Rahman, 40, maut bersama suami, Nik Mohd Zulmi Ramli, 44, dan anak mereka, Nik Aishah Azzahra, 5 tahun.
Artikel berkaitan: Wanita maut dalam nahas ditemui sedang meriba anak, sedang mengandung
Katanya, dua hari sebelum kejadian, kakaknya sibuk membersihkan rumah ibu mereka di Kampung Badak tanpa meminta bantuan adik-beradik lain.
“Dia memang penyayang, anak yang baik, cuma beberapa hari ini, dia asyik mengemas rumah mak.
“Kebetulan mak ke Kuala Lumpur atas urusan kematian saudara di sana, tapi kali ini dia bersih betul-betul rumah mak. Sepatutnya esok (hari ini) dia nak mengelap lantai pula, “katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, di sini, malam tadi.
Katanya, kakaknya bekerja sebagai akauntan di Jabatan Audit Negara, Bandar Baru Tunjung, di sini, manakala abang iparnya bekerja di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Mas.
Artikel berkaitan: Pokok tumbang menimpa kenderaan, tiga disahkan maut
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini, untuk bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Dalam kejadian 8.04 malam tadi, tiga beranak maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok selain turut menghempap sebuah kereta lain.
Kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat dan ribut semasa dua kenderaan itu dari arah Machang menuju ke Kota Bharu.