comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita maut dalam nahas ditemui sedang meriba anak, sedang mengandung

Aggota bomba mengusung mayat salah seorang mangsa untuk dihantar ke HUSM – Foto Bomba

KOTA BHARU: Mayat wanita yang maut dalam tragedi kereta dihempap pokok tumbang di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas malam tadi ditemui dalam keadaan sedang meriba anaknya berusia lima tahun di tempat duduk hadapan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Roslan Omar berkata, bomba mengambil masa dua jam setengah untuk keseluruhan operasi termasuk mengeluarkan mangsa, memotong pokok dan kerja-kerja pembersihan membabitkan 10 anggota, satu jentera dan dua jengkaut.

Artikel berkaitan: Pokok tumbang menimpa kenderaan, tiga disahkan maut

“Difahamkan wanita itu juga sedang mengandung, selepas mengeluarkan mangsa, kita dapati ketiga-ketiganya sudah meninggal dunia.

“Pokok yang menghempap dua kenderaan itu adalah setinggi 50 meter dan sebesar dua pemeluk tumbang akibat ribut dan hujan lebat,” katanya ketika ditemui di sini.

Tiga sekeluarga maut pokok tumbang hempap dua kereta. FOTO NST

Dalam kejadian itu, Nik Amirah Nik Ab Rahman, 40, suami, Nik Mohd Zulmi Ramli, 44 dan anak, Nik Aishah Azzahra, 5 yang menaiki kereta Nissan Sentra meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara, dua anak lain, Nik Adilia Zulaikha, 11 dan Nik Adam Zarif, 9 yang berada di tempat duduk belakang cedera dan dibawa ke Hospital Machang.

Pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta Honda City, Shamsiemon Mukhtar, 53 bersama isteri, Jahnilawati Mohd Zain, 52 dan tiga anak mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Roslan berkata, operasi turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Bahagian Trafik Balai Kok Lanas, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang ramai yang membantu memotong dan mengalihkan potongan pokok.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk tindakan lanjut.

Shamsiemon berkata, kejadian berlaku pada 8.04 malam ketika dia dan kereta dipandu mangsa maut sedang melalui jalan dari Machang ke Kota Bharu.

Katanya, ketika mangsa sedang memotong keretanya, tiba-tiba tanpa sebarang bunyi, sebatang pokok menghempap tepat bahagian depan kereta Nissan Sentra, manakala keretanya dihempap bahagian belakang.

“Saya tengok pokok itu tepat menghempap bahagian depan kereta sebelah (Nissan Sentra), kejadian berlaku sekelip mata.

“Kami yang terselamat terus keluar dari kenderaan,” katanya yang memaklumkan mahu keluar makan di Kota Bharu bersama keluarga ketika kejadian.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat dalam nahas ngeri itu.

Loading...
Terkini