comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Bekas kapten bola sepak nafi ceroboh bilik hotel kenalan wanita

 

PETALING JAYA: Bekas kapten pasukan bola sepak kebangsaan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan menceroboh bilik hotel didiami kenalan wanita pada 21 Jun lalu.

Tertuduh, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, 49, yang juga bekas pemain Perak FA  dituduh melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bilik hotel didiami wanita berusia 36 tahun di sebuah hotel di Kelana Jaya pada 6 petang, 21 Jun lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM6,000, namun Suraj memohon jaminan rendah mengambil kira anak guamnya perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan tujuh anak.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menetapkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes disebut semula pada 18 September depan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki yang juga mantan kapten skuad kebangsaan sekitar 2000 ditahan selepas dipercayai terbabit menceroboh bilik di sebuah hotel, di sini, pada 21 Jun lalu.

Menurut sumber, laporan polis itu dibuat oleh seorang lelaki selepas mendapati bekas pemain bola sepak terbabit menceroboh bilik hotel sebelum bertindak agresif hingga menyebabkan berlaku kekecohan.

Katanya, ketika kejadian, terdapat seorang wanita berada di dalam bilik itu yang juga isteri pengadu.

Menurutnya, suspek dikatakan bertindak agresif hingga menimbulkan ketakutan terhadap wanita berkenaan.

Bekas kapten pasukan bola sepak kebangsaan (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan menceroboh bilik hotel didiami kenalan wanita. – FOTO NSTP
Loading...
Terkini