comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas pegawai PERKESO terima habuan luluskan insentif PENJANA didenda RM70,000

Bekas Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO, Dhinnesh Shanmugam didenda RM70,000 selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM38,000 sebagai balasan meluluskan insentif PENJANA 3.0 sebuah syarikat, dua tahun lalu.

SHAH ALAM: Bekas Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM38,000 sebagai balasan meluluskan insentif PENJANA 3.0 sebuah syarikat, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhi hukuman itu terhadap Dhinnesh Shanmugam, 30, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara 24 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Dhinnesh didakwa menerima untuk dirinya wang tunai berjumlah RM38,000 daripada seorang lelaki sebagai balasan iaitu meluluskan permohonan Program Insentif Pengambilan Pekerjadan Program Latihan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA 3.0) milik syarikat lelaki itu.

Perbuatan itu dilakukan masing-masing di sebuah kafe dan restoran di Dengkil serta Sepang pada 6 dan 15 April 2022.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi setiap pertuduhan.

Mengikut fakta kes, modus operandi dilakukan tertuduh adalah menghubungi pegawai di Ibu Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO untuk meminta tindakan ‘data patching’ yang bermaksud membuka semula permohonan sebuah syarikat yang telah ditolak supaya tertuduh boleh membuat semakan dan memberikan kelulusan.

Kemudian tertuduh telah menghubungi seorang lelaki dengan membuat kiraan bahawa syarikat tersebut akan menerima sejumlah RM1.15 juta dalam tempoh enam bulan tidak termasuk insentif mobiliti.

Hasil perbincangan bersama dua lelaki termasuk pemilik syarikat tersebut akhirnya telah menawarkan 10 peratus iaitu berjumlah RM19,000 hasil daripada pembayaran PERKESO yang berjumlah RM189,020 setiap enam bulan bagi permohonan 124 orang pekerja syarikat berkenaan.

Menurut peguam yang mewakili tertuduh, anak guamnya sudah berhenti dari PERKESO sejak 1 September 2023.

Loading...
Terkini