comscore
Tumpuan :
Kes

Bekas polis direman kes samun bersenjata

Pengawal keselamatan yang juga bekas polis direman bagi bantu siasatan kes samun bersenjata.

MELAKA: Seorang bekas polis direman tujuh hari berhubung kes samun berkumpulan dan bersenjata terhadap peniaga sayur.

Perintah reman  dikeluarkan Majistret, Sharda Shienha Mohd Suleiman, bermula hari ini hingga Selasa depan mengikut Seksyen 117, Kanun Prosedur Jenayah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, mengesahkan tangkapan suspek yang juga pengawal keselamatan itu untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Beliau berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan dalam serbuan polis terhadap sebuah rumah di Tangga Batu, Tanjung Kling di sini, jam 12 tengah hari semalam.

Katanya, dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa berusia 25 yang  sedang meletakkan keretanya di pakir kenderaan  didatangi dua lelaki menunggang sebuah motosikal.

“Seorang daripada lelaki itu tiba-tiba mengacukan pisau di leher mangsa dan mengarahkannya menyerahkan wang serta barangan berharga, manakala seorang lagi suspek menunggu di pagar.

“Akibat ketakutan mangsa menyerahkan wang tunai RM400 dan telefon bimbit Vivo iQoo 11 bagi mengelak dicederakan suspek.

“Sejurus menerima laporan mangsa jam 1 pagi hari kejadian, sepasukan pegawai dan anggota D9 IPD Melaka Tengah menggerakkan pasukan mengumpul risikan dan maklumat bagi menjejaki suspek,” katanya.

Christopher berkata, lelaki itu berjaya dikesan dan ditahan di sebuah rumah di Jalan Tangga Batu oleh sepasukan pegawai dan anggota D9 diketuai Inspektor Mohd Shukri Hamzah dan Inspektor Muhammad Firdaus Othman.

Turut dirampas dua beg mengandungi dokumen miliknya termasuk kad kerja di syarikat pengawal keselamatan, lesen memandu dan sebutir peluru serta empat telefon bimbit pelbagai jenama.

“Hasil siasatan suspek memiliki satu rekod jenayah mengikut Seksyen 86(1) Akta Polis dan masing-masing dua kes mengikut Seksyen 12(2) dan 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dia mengaku peluru itu miliknya dan disimpan selepas ditamatkan perkhidmatan polis pada 2016.

Polis masih mengesan seorang lagi rakan sejenayah suspek.

Loading...
Terkini