comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2023: Tidak kompromi soal pertahanan dan keselamatan negara

Foto hiasan

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan masing-masing diperuntukkan sejumlah RM18.5 bilion dan RM17.7 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Keutamaan peruntukan ini adalah untuk menyelenggara dan membeli aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir RM4.1 bilion.

Katanya, agensi di bawah KDN akan disediakan hampir RM1 bilion bagi memperkasa keselamatan dalam negeri antaranya untuk memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan PDRM.

Selain itu, sebuah Ibu Pejabat Kontinjen Perak dan kuarters polis baharu akan dibina dengan kos RM450 juta.

“Kerajaan akan menambah 42 pos kawalan sempadan polis PGA, Imigresen, ESSCOM dan APMM bagi memperketat kawalan sempadan negara selain menyelenggara semua kapal dan bot APMM.

“Aspek kebajikan angkatan bersenjata negara akan terus dipelihara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, lebih RM500 juta disediakan untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN.

Katanya, bagi membantu pemilikan rumah mampu milik bagi ATM secara berfasa, kerajaan akan membina lebih 7,000 unit rumah mampu milik di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kuala Lumpur.

“Menurut peraturan semasa, anggota yang meninggalkan perkhidmatan atau bersara tidak berpencen perlu membuat penyelesaian penuh baki pembiayaan LPPSA.

“Mengambil kira keresahan dan beban yang perlu ditanggung, kerajaan bersetuju supaya LPPSA menawarkan peluang untuk anggota meneruskan bayaran balik baki pinjaman seperti biasa sehingga selesai. Usaha ini membolehkan 4,000 peminjam LPPSA layak menstruktur semula pembiayaan mereka dan 700 peminjam bakal bersara tidak berpencen setiap setahun dapat meneruskan bayaran balik pinjaman seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, kerajaan memahami kekhuatiran veteran ATM yang menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan selepas umur persaraan.

“Tekad saya, untuk pastikan, veteran ATM disediakan pekerjaan dan kemudahan latihan. Pentadbiran ini akan melaksanakan Program Kerjaya Kedua Veteran ATM menerusi kerjasama LTAT.

Di bawah ikhtiar ini, seramai 5,000 veteran ATM yang berpencen tahun ini akan ditawarkan peluang pekerjaan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau menerima latihan kemahiran untuk meningkatkan peluang menjana pendapatan,” katanya.

Perdana menteri berkata, untuk meningkatkan kemahiran 1,250 orang veteran, Jabatan Hal Ehwal Veteran bersama-sama agensi kerajaan lain akan menawarkan lima bidang kursus antaranya pengendalian dron, keselamatan siber dan penyelenggaraan pesawat selama tiga bulan.

 

Loading...
Terkini