comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2023: Tingkat pendapatan rakyat untuk imbangi inflasi

Rafizi ketika hadir di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pandan 2023, di Padang Perbandaran Ampang Jaya, malam tadi. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2023 bakal menyaksikan penyediaan lebih banyak ruang dan peluang baharu untuk menjana pendapatan tambahan khususnya bagi golongan rakyat miskin dan muda.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata inisiatif ini akan membuka peluang kepada rakyat untuk meningkatkan pendapatan bagi mengimbangi kesan inflasi, iaitu kenaikan harga barang.

Katanya, perincian inisiatif itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini.

Rafizi berkata, inisiatif itu akan memberi ruang untuk keluarga miskin dan orang muda menjana pendapatan tambahan bagi menampung perbelanjaan mereka.

“Kita akan mengumumkan menjelang hujung Februari. Saya tunggu bajet diumum dan diluluskan dulu. Selepas akhir Februari, akan diperkenal program melibatkan inisiatif meningkatkan pendapatan rakyat. Kita ada inisiatif yang merangkumi harga barang dan soal pendapatan.

“Cuma kita tunggu dulu. Perkara itu sudah dimasukkan dalam Belanjawan 2023. Program pilot pertama (perintis) sedang disusun dan kita tunggu belanjawan diluluskan. Lepas itu kita umumkan. Program itu akan buka ruang kepada golongan miskin dan muda untuk menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pandan Indah malam tadi.

Terdahulu berucap pada majlis itu, Rafizi berkata, Parlimen Pandan akan menjadi antara lokasi perintis projek bagi mengukur keberkesanan inisiatif baru itu.

“Insya-Allah salah satu inisiatif untuk meningkatkan pendapatan rakyat bagi golongan miskin ini. Kita akan uji dan lancar di Pandan dulu.

“Kalau berjaya, dapat sambutan baik daripada penduduk di Pandan, insya-Allah kita boleh sebar luaskan ke seluruh Malaysia,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Bajet 2023 yang disemak semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul juga menyatakan Bajet 2023 akan dibentangkan pada tarikh berkenaan, berikutan hanya belanjawan mini bagi perbelanjaan perkhidmatan dan pembayaran gaji yang sudah diluluskan Parlimen.

Dalam pada itu Rafizi berkata, kerajaan sedang mengusahakan inisiatif pelaburan pada peringkat bekalan sebagai usaha mengelak gangguan pada peringkat berkenaan sehingga menyebabkan kenaikan mendadak harga barang di pasaran.

“Kita juga melihat keperluan untuk memastikan pengguna lebih peka kepada kenaikan harga barang, terutama yang melibatkan barangan yang sudah siap,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini