comscore
Tumpuan :
Nasional

Bencana kemarau Papar: 43 lokasi kritikal, lebih 100,000 penduduk terjejas

Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyampaikan bantuan penghantaran bekalan air bersih di Kampung Kuala Dalam, Papar, Sabah.

Oleh: Safwan Sawi

PAPAR: Status bencana kemarau Papar yang masuk hari kelima hari ini merekodkan 43 lokasi kritikal dikesan membabitkan lebih 100,000 penduduk terjejas kata Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, angka itu meningkat berbanding semalam iaitu 28 buah kampung membabitkan 54,000 penduduk terjejas.

“Sekarang agak semakin teruk apabila 43 kampung dan taman perumahan sudah terjejas teruk mencecah 100,000 penduduk Papar ada kampung ada air tengah malam ada kampung kita tengah kenal pasti melalui pemimpin kampung memang langsung seminggu tidak ada air sampai paip rumah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau proses penghantaran bekalan air bersih di Kampung Kuala Dalam, Papar, di sini hari ini.

Jelas Armizan, Papar memerlukan bekalan air bersih sekurang-kurangnya tujuh juta liter sehari (JLH) bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan terjejas akibat kemarau susulan masalah bekalan air kritikal di daerah itu.

Katanya setakat semalam, proses penghantaran air di kawasan terjejas hanya melibatkan sebanyak 1.18 JLH, jauh daripada kapasiti diperlukan penduduk.

“Kita telah mula menghantar bekalan air ke kawasan terjejas pada 23 Februari lepas dan sebaik sahaja bencana kemarau diumumkan dan diisytiharkan secara rasmi pada 13 Mac, kita telah menambah kapasiti penghantaran bekalan air ini menggunakan lori dan sebagainya.

“Peringkat awal iaitu sebelum bencana diumumkan, kita menghantar dalam 600,000 JLH.

“Kita akan berusaha lagi untuk memohon bantuan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak swasta dalam aspek membekalkan lori bersesuaian untuk menghantar bekalan air,” katanya.

Ujarnya lagi bekalan air bersih akan dihantar secara berkala di kawasan mempunyai tangki statik dan pihaknya juga akan mengenal pasti kawasan yang tidak mempunyai kemudahan itu seperti kampung-kampung kecil serta perumahan bertingkat, seterusnya menyelesaikan isu berkenaan supaya penduduk mendapat bekalan air secukupnya.

Beliau berkata beberapa daerah seperti Beaufort dan Ranau turut menghulurkan bantuan dengan menggerakkan aset masing-masing bagi memudahkan proses penghantaran bekalan air bersih ke kawasan terjejas.

“Kita perlu menggunakan peruntukan yang ada untuk sewaan lori (tangki air) dan sebagainya bagi membolehkan kita membantu masyarakat. Ia akan diteruskan sehingga isu ini dapat ditangani dan Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) dan LRA Jetama beroperasi sedia seperti sediakala,” katanya.

Rabu lalu, Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Papar mengisytiharkan daerah yang terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu itu sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini