comscore
Tumpuan :
Nasional

Berpakaian oren solidariti hentikan keganasan terhadap wanita

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Rakyat negara ini diseru memakai pakaian berwarna oren (jingga) pada Sabtu ini untuk menunjukkan solidariti dan sokongan kepada kempen ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga mengalu-alukan pemilik premis untuk menghiasi premis mereka dengan warna oren bagi menyokong kempen itu.

“Sebagai simbolik permulaan kempen ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’, KPWKM dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan ‘menyirami’ Menara Kuala Lumpur dengan warna oren pada malam 24 November ini (Jumaat). Warna oren adalah warna global tanda solidariti bagi menghentikan keganasan terhadap wanita,” menurut kenyataan itu.

25 November disambut sebagai Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita (International Day for the Elimination of Violence against Women – EVAW) di seluruh dunia.

Mengulas lanjut, KPWKM juga menyarankan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan untuk melaksanakan program kesedaran menghapuskan keganasan dan penindasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

KPWKM mahu program dilaksanakan di peringkat akar umbi seperti di komuniti setempat, sekolah, universiti dan tempat kerja supaya matlamat kempen berkenaan tercapai.

“Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk menjayakan kempen ini dan seterusnya menghentikan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini