comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih seratus warga asing berjalan kaki di Kota Tinggi ditahan

Tangkap layar video tular

KOTA TINGGI : Seramai 171 warga asing yang sedang berjalan beramai-ramai di satu kawasan di daerah ini sehingga menimbulkan kegusaran awam, ditahan polis, baru-baru ini.

Video menunjukkan kumpulan warga asing terbabit tular di media sosial sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan kejadian berlaku pada Rabu lalu.

Tangkap layar video tular

Katanya, susulan laporan polis dibuat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan lanjut.

“Ya benar, video yang tular itu adalah kejadian baharu minggu lalu.

“Kejadian berlaku pada pagi Rabu lalu apabila ratusan warga asing Bangladesh telah dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk, Teluk Ramunia Bayu Damai.

”Mereka difahamkan menuju ke Balai Polis Bayu Damai bagi membuat laporan polis berikutan ditipu ejen pekerjaan yang tidak memberi pekerjaan.

“Hasil tindakan pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seramai 171 lelaki warga Bangladesh berumur antara 19 hingga 43 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut  atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kesemua mereka telah dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru  untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, video tular 1 minit 33 saat itu memaparkan seorang pemandu kereta terkejut dengan kehadiran ramai warga asing sedang berjalan kaki dalam barisan yang panjang.

Loading...
Terkini