comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga remaja buat aksi ‘superman’ ditahan polis

Tiga remaja dikesan melakukan aksi ‘superman’ ditahan polis malam tadi. – Foto: Ihsan PDRM

JEMPOL: Tiga remaja yang dikesan melakukan aksi ‘superman’ ditahan polis dalam Op Samseng di daerah ini kira-kira jam 9 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, ketiga-tiga remaja berusia 18 tahun itu turut didakwa menguji kelajuan motosikal masing-masing dan bersaing sesama mereka.

Katanya, tiga remaja berkenaan dikesan melakukan aksi dan menunggang motosikal secara berbahaya dari Kilometer 10 Jalan Bahau-Kemayan menghala ke arah Bandar Seri Jempol sejauh lebih kurang sembilan kilometer.

“Kesemua mereka ditahan polis untuk siasatan lanjut dan polis sudah mendapat perintah reman empat hari bermula hari ini hingga Rabu depan”, katanya dalam satu kenyataan.

Hoo berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya.

Polis menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak yang menggunakan motosikal terutamanya bagi mereka yang mengubahsuai kenderaan dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Op samseng bertujuan mencegah aktiviti lumba haram, menunggang secara melulu serta merbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain selain memastikan penunggang motosikal mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan”, katanya.

Loading...
Terkini