comscore
Tumpuan :
Nasional

Bimbang ditinggalkan suami antara faktor wanita tidak jalani saringan kanser

Saringan awal kanser berkesan lindungi nyawa. – Foto hiasan.

KOTA BHARU: Bimbang ditinggalkan suami dan menjadi beban kepada keluarga antara faktor menyebabkan ramai wanita di Kelantan tidak menjalani saringan awal kanser yang disediakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di negeri ini.

Pengarah LPPKN Kelantan, Zaharin Bakri berkata setakat April lepas, hanya 130 wanita tampil menjalani ujian saringan kanser pangkal rahim dan payudara di klinik Nur Sejahtera LPPKN.

Beliau berkata angka itu sangat rendah berbanding negeri lain memandangkan terdapat kira-kira 500,000 orang wanita di Kelantan yang mungkin berisiko mendapat penyakit berkenaan.

“Kebanyakan wanita Kelantan masih teragak-agak atau tidak cenderung melakukan saringan kanser kerana faktor itu, selain kurang cakna dengan perkhidmatan yang disediakan kerajaan kepada mereka sedangkan kanser payudara dan pangkal rahim antara penyebab utama kematian wanita di negara ini,” katanya.

Zaharin berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Kelantan sempena Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita di sini hari ini yang dirasmikan Tengku Puan Temenggung Kelantan, Datuk Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman.

Beliau berkata LPPKN menyasarkan sejumlah 500 wanita di Kelantan tampil menjalani ujian saringan kanser tahun ini bagi membantu lebih ramai wanita mengesan penyakit itu dengan lebih awal.

Katanya, hanya 350 orang tampil mendapatkan perkhidmatan saringan berkenaan tahun lepas dan ia satu perkembangan yang tidak sihat.

“LPPKN Kelantan pernah mengesan wanita seawal 20-an mengalami kanser payudara di negeri ini dan berjaya mendapatkan rawatan susulan kerana penyakit dapat dikesan pada peringkat awal.”

“Kerajaan telah menyediakan Program Subsidi Ujian Mamogram semenjak 2007 untuk kemudahan wanita di negara ini mendapatkan saringan secara percuma. Kita harap wanita Kelantan dapat manfaatkan perkhidmatan ini dengan sewajarnya,” katanya.

Zaharin turut menggesa kaum lelaki agar turut memainkan peranan aktif sebagai pendorong kepada isteri, ibu dan ahli keluarga wanita yang lain untuk tampil menjalani saringan demi kelangsungan dan kesejahteraan sesebuah keluarga.

Katanya, pihak LPPKN akan terus memperkasakan sebaran berhubung perkhidmatan berkenaan kepada rakyat di negeri ini termasuk menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agesi lain, selain kempen secara berterusan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini