comscore
Tumpuan :
Nasional

Bina ekosistem pendidikan digital, tumpuan KPM

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam majlis amanat Menteri Pendidikan Tahun Baru 2024 di Auditorium Kompleks E, semalam. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Membina Ekosistem Pendidikan Digital antara lima inisiatif atau Prakarsa Pendidikan Madani yang menjadi penekanan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menyokong agenda pendigitalan yang ditekankan oleh Kerajaan MADANI.

Ia juga selari dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang dilancarkan tahun lalu.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, beberapa inisiatif KPM berhubung dasar pendigitalan ini juga mendapat pengiktirafan pelbagai pihak, misalnya Pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), yang mendapat Recognition of Excellence 2023 daripada OpenGovAsia, Special Mention: The Inter-Agency Award oleh GovInsider, dan Learning Pioneer Country Award 2024-2025 daripada UNICEF.

“Ini membuktikan bahawa komitmen KPM dalam menyediakan sumber pendidikan berkualiti melalui DELIMa.

“Yang penting, DELIMa tidak hanya menyediakan pelbagai sumber pendidikan digital terkini, tetapi jmerangkumi akses kepada alat kecerdasan buatan seperti Bard, Perplexity, Claude, Conker, dan Chat GPT.

“KPM juga tidak lupa isu akses pendigitalan di kawasan luar bandar dengan memperkasa akses kepada sumber pembelajaran digital di kawasan luar bandar dan pedalaman melalui inisiatif memperkasa Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP),” katanya dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 KPM, semalam di Putrajaya.

Sebagai Pusat Kecemerlangan, PKG dan SSTP diberi peralatan dan perkakasan studio digital serta hab penghasilan digital pada Disember 2023.

Dengan adanya langkah ini, penggunaan Pusat Kecemerlangan sebagai pusat untuk peningkatan kompetensi digital murid dan guru, hab pembangunan kandungan digital berkualiti, serta wadah percambahan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran boleh disemarakkan.

Dalam meningkatkan penggunaan teknologi dan inovasi, Advance Integrated NILAM System (AINS) dibangunkan melalui Program MyHackathon Kohort 2/2022 yang dipacu oleh MOSTI dan Cradle Fund Sdn Bhd sebagai agensi pelaksana.

Apa itu AINS?

Ia merupakan aplikasi mudah alih yang direka bagi memudahkan murid merekod bahan bacaan berasaskan teknologi untuk menggantikan sistem perekodan membaca murid secara manual iaitu NILAM yang telah digunakan sejak tahun 1999.

AINS dilengkapi dengan permainan, penilaian dan cadangan bahan bacaan. Aplikasi interaktif ini membolehkan murid mendapatkan mata ganjaran yang boleh ditebus bagi menggalakkan mereka membaca.

Melalui AINS, pihak ibu bapa, guru, pentadbir pada peringkat sekolah, PPD, JPN dan KPM dapat memantau status dan tahap pencapaian NILAM murid pada peringkat bilik darjah, aliran, sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan melalui dashboard yang disediakan.

Sekaligus menggalakkan budaya membaca yang lebih aktif serta menyumbang kepada keintelektualan negara.

Loading...
Terkini