comscore
Tumpuan :
Nasional

Kita galakkan ‘content’ untuk memberikan pendidikan – Fadhlina

IPOH: Larangan ke atas guru untuk menghasilkan kandungan media sosial membabitkan pelajar seperti ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tidak secara menyeluruh.

Sebaliknya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata KPM menggalakkan konten dibuat dalam bentuk untuk memberikan pendidikan serta berkait dengan kesedaran pendidikan.

“Perkara ini sebenarnya sudah saya pertegaskan berulang kali bahawa kita ada garis panduan di peringkat kementerian dan kita minta semua guru untuk mematuhi garis panduan berkenaan jika hendak buat ‘konten’.

“Kita galakkan konten dibuat dalam bentuk untuk memberikan pendidikan, khususnya seperti dalam membantu subjek-subjek untuk anak-anak murid, dan juga kesedaran  berkaitan dengan pendidikan. Jadi garis panduan ini mesti dipatuhi oleh semua guru tanpa kecuali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri Program Jaulah Ramadan KPM Tahun 2024 peringkat Perak di Sekolah Raja Perempuan Taayah, di sini hari ini.

Fadhlina ditanya reaksi mengenai langkah proaktif yang diambil KPM terhadap kenyataan Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Rafiq Razali, hari ini yang dilapor menggesa guru tidak menyiarkan pelajar mereka sebagai kandungan di dalam media sosial.

Rafiq dilapor berkata perbuatan menyiarkan pelajar mereka sebagai kandungan di dalam media sosial lebih-lebih lagi tanpa kebenaran ibu bapa mereka boleh dianggap sebagai pencerobohan privasi untuk pelajar dan keluarga mereka justeru guru perlu bertanggungjawab terhadap etika digital dalam penghasilan kandungan.

Pada 8 September tahun lalu, Fadhlina dilapor berkata guru yang menjadikan pelajar sebagai kandungan media sosial bakal berdepan dengan tindakan oleh KPM selain menegaskan kementerian itu tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu pelanggaran garis panduan pembabitan murid di dalam media sosial.

Mengenai program Jaulah Ramadan KPM, Fadhlina berkata ia merupakan program tahunan KPM sebagai pengisian aktiviti warga KPM sepanjang bulan Ramadan selain bertindak sebagai medium untuk KPM melihat sebarang keperluan yang diperlukan oleh pihak sekolah.

Katanya, terdapat 48 sekolah seluruh negara membabitkan tiga sekolah di setiap negeri program itu diadakan dengan ia antara lain turut berbentuk program pemberian sumbangan kepada 150 murid terpilih iaitu daripada katgori murid asnaf dan miskin.

“Ia adalah komitmen besar daripada kepimpinan tertinggi KPM termasuk dalam konteks untuk merapatkan hubungan antara KPM dengan sekolah-sekolah terpilih berkenaan. Begitu juga dengan kita akan lihat mengenai peruntukan-peruntukan yang diperlukan di peringkat sekolah terbabit,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini