comscore
Tumpuan :
Nasional

Bingung, tiada hutang tapi kereta kena simbah cecair seperti cat

Foto: NSTP

KOTA BHARU: Seorang lelaki bingung apabila kereta miliknya Perodua Viva disimbah cecair seperti cat di Kampung Pengkalan Datu.

Selain simbahan cecair berwarna merah jambu,turut dijumpai enam keping kertas yang tercatat tulisan tangan agar Che Mohd Intizan Kamarudin, 40, membayar hutang sedangkan dia mendakwa tidak berhutang dengan sesiapa.

Katanya kejadian hanya disedari jam 9 malam kelmarin apabila dia keluar rumah untuk mengambil angin selepas selesai makan malam.

“Sebaik membuka pintu rumah, alangkah terkejutnya saya melihat Perodua Viva saya dipenuhi cecair berwarna merah jambu yang masih basah lagi seolah-olah kejadian itu baru beberapa minit berlaku.

“Saya melihat sekitar rumah tapi tiada sesiapa dijumpai sebaliknya ternampak enam keping kertas bersaiz A4 yang dikeronyok dan tertulis ‘bayar hutang ci*ai’.

“Tanpa melengahkan masa, saya terus menghubungi pihak berkuasa kerana bimbang berlaku tindakan susulan meskipun masih bingung memikirkan motif kejadian itu,” katanya.

Che Mohd Intizan berkata, perbuatan itu biasanya dikaitkan dengan kumpulan along atau pinjaman wang tidak berlesen tapi memberitahu dia tidak pernah berhutang dengan sesiapapun apatah lagi secara tidak berlesen seperti itu.

Dia yang juga kakitangan bahagian mekanikal di Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) juga mendakwa musuh dan merasakan tindakan itu sekadar perbuatan khianat.

“Saya tidak merasa takut dengan perbuatan itu sebaliknya terkilan kerana mungkin akan dianggap ia bermotifkan hutang sedangkan saya tidak pernah berhutang dengan sesiapa pun.

“Saya juga tidak mempunyai musuh malah suka berkawan dengan sesiapa sahaja dan sangat sukar memikirkan siapa atau apa motif kejadian ini.

“Ada juga terfikirkan sebab dendam dan bertanyakan semua ahli keluarga berkenaan hal itu namun seingat kami memang tiada berdendam dengan sesiapa dan kami serah kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Loading...
Terkini