comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki disyaki larikan diri selepas terbabit kemalangan, maut langgar pokok

Lelaki maut selepas kereta Perodua Viva dipandu melanggar pokok di Puchong Prima, Subang Jaya. FOTO Ihsan Polis

SUBANG JAYA: Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dinaiki melanggar pokok ketika disyaki cuba melarikan diri selepas terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain, di Puchong Prima di sini, semalam.

Dalam kejadian 7.30 petang, lelaki berusia 42 tahun yang memandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis menerima laporan kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu dua kereta dan sebuah motosikal.

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki itu melalui Bulatan Puchong Prima melanggar bahagian belakang motosikal jenis Yamaha Y15 dan sebuah kereta Proton Wira.

“Selepas kemalangan, lelaki itu terus memecut laju di Jalan Desa Millenia ke arah Puchong Prima dan ketika melalui selekoh, keretanya terbabas serta melanggar sebatang pokok di kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.

Selain itu, katanya, penunggang dan pembonceng motosikal cedera ringan manakala pemandu kereta Proton Wira tidak cedera.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi

Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222.

Loading...
Terkini