comscore
Tumpuan :
Nasional

Biomas jadi tumpuan industri hiliran kelapa sawit di Sabah

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kiri) pada pertemuan bersama delegasi Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah diketuai Datuk Phoong Jin Zhe di Kuala Lumpur. – FOTO: Ihsan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan persekutuan komited untuk sama-sama membangunkan industri hiliran kelapa sawit di negeri ini dengan tumpuan khusus terhadap penerokaan sumber biomas.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata perkara itu disuarakan kedua-dua pihak pada pertemuan dengan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, baru-baru ini.

Jin Zhe berkata pada pertemuan itu beliau bersama delegasi kementeriannya berbincang bersama Johari berhubung hala tuju strategik industri hiliran dan biomas kelapa sawit di Sabah.

“Tumpuan khusus terarah kepada potensi industri biomas yang mana ia menjadi satu komponen penting dalam agenda pembangunan mapan di Sabah. Biomas termasuk sisa kelapa sawit seperti tandan kosong (EFB), kulit isirung sawit dan sisa buangan kilang kelapa sawit menyediakan peluang kekayaan merentasi pelbagai sektor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, banyak yang boleh dimanfaatkan daripada sumber biomas berasaskan sisa kelapa sawit itu antaranya penjanaan tenaga boleh baharu dan pengeluaran produk tambah nilai.

Pada masa yang sama beliau berkata penerokaan biomas juga akan mewujudkan kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi, selain menjanjikan pelbagai manfaat kepada landskap perindustrian Sabah.

“Dengan adanya teknologi seperti pengegasan biomas, biofuel dan penjanaan biogas, sisa kelapa sawit boleh ditukar kepada tenaga elektrik, haba dan biofuel sekali gus menyumbang kepada peningkatan tenaga boleh baharu serta mengurangkan pergantungan terhadap bahan api fosil,” jelasnya.

Tambah Jin Zhe, selain itu penggunaan biomas juga dapat menggalakkan kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan penjanaan bahan buangan dan menghalang pengeluaran gas rumah hijau, sekali gus mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Jin Zhe berkata melalui inisiatif itu akan mendorong Sabah dan Malaysia ke arah masa depan yang lebih makmur dan mapan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini