comscore
Tumpuan :
Nasional

Bomba Selamatkan Kanak-Kanak, Guru Terperangkap Banjir

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Johor Bahru menyelamatkan 12 kanak-kanak dan 5 guru di sebuah tadika di Jalan Mohd Amin, Johor Bahru yang dinaiki air setinggi 0.5 meter susulan hujan lebat pagi tadi. – FOTO : Ihsan Bomba

Oleh Zahir Senapiah.

JOHOR BAHRU : 12 kanak-kanak dan 5 guru berjaya diselamatkan anggota bomba selepas mereka terperangkap banjir dalam bangunan tadika di Jalan Mohd Amin, Larkin di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Mohamad Faiz Suleiman berkata, sepasukan 9 anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 9.30 pagi.

Menurut beliau, semua mangsa termasuk kanak-kanak berusia 7 bulan hingga 6 tahun bersama 5 orang guru berjaya dibawa keluar dari kawasan itu dengan menggunakan sebuah jentera bomba dan satu kenderaan pelbagai guna jam 9.40 pagi.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Johor Bahru menyelamatkan 12 kanak-kanak dan 5 guru di sebuah tadika di Jalan Mohd Amin, Johor Bahru yang dinaiki air setinggi 0.5 meter susulan hujan lebat pagi tadi. – FOTO : Ihsan Bomba

Hujan lebat bermula 5.30 pagi itu menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru dilanda banjir kilat termasuklah di Jalan Kolam Air, Kampung Skudai Kiri, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Kampung Ubi, Kampung Pekajang dan Kampung Tiram Duku dinaiki air hingga satu meter.

“Turut terkesan banjir kilat sebuah lagi tadika di Kampung Skudai Kiri di mana air naik hingga 0.5 meter, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat kerana tadika berkenaan bercuti hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut guru tadika berkenaan, Nurhanim Ramle, pihak pengurusan sekolah telah memaklumkan kepada ibu bapa berhubung penutupan sekolah berkenaan lebih awal.

“Banjir tadi bermula 7.30 pagi hingga air naik begitu pantas. Mujur tiada pelajar yang sampai awal kerana kita sempat maklumkan kepada ibu bapa mengenai penutup tadika lebih awal,” katanya.

Tiada penduduk yang dipindahkan dan banjir surut sepenuhnya 4 jam kemudian.

Loading...
Terkini