comscore
Tumpuan :
Nasional

Bot karam: Seorang lemas, 3 individu termasuk kanak-kanak hilang

SEPULUT: Seorang wanita ditemui lemas manakala tiga individu termasuk dua kanak-kanak dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, semalam.

Mangsa lemas yang berusia 26 tahun ditemui oleh penduduk kampung, kira-kira 3 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 1.14 tengah hari semalam.

Berikutan itu, katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook dan Keningau termasuk anjing pengesan (K9) serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Nabawan digerakkan ke lokasi kejadian.

“Menurut maklumat awal daripada pemanggil, terdapat lima mangsa terbabit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan lelaki berusia 36 tahun berjaya menyelamatkan diri.

“Mangsa yang belum ditemui iaitu dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap itu berkata, pasukan bomba bertindak membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kaedah pencarian di permukaan di sekitar kawasan bot karam.

“Pada jam 3.15 petang semalam, penduduk kampung menemui mangsa wanita disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pencarian dua lagi mangsa yang memasuki hari kedua pada jam 8.42 pagi tadi, dijalankan di sepanjang sungai dengan anggaran pencarian sejauh tiga kilometer,” katanya.

“Operasi SAR tiga mangsa diteruskan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya sambil menambah operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Keningau.

Loading...
Terkini