comscore
Tumpuan :
Nasional

Budak enam tahun pandu kereta belajar ikut Youtube

Kanak-kanak itu menunjukkan bagaimana beliau memandu kereta dalam kejadian pada Selasa. FOTO: Kumaran Rajamoney/Buletin TV3

ALOR SETAR : Polis menolak dakwaan video tular menerusi media sosial yang mendakwa kanak-kanak enam tahun memandu kereta milik keluarganya sehingga terlibat kemalangan, berlatih menggunakan simulator kereta di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata siasatan sebaliknya mendapati  kanak-kanak itu mendakwa dia tahu cara membawa kereta dengan melayari laman YouTube selain mengamati cara pemanduan bapanya.

“Siasatan polis mendapati tidak ada simulator di rumah kanak-kanak itu dan video dan gambar yang tular itu bukanlah kanak-kanak yang memandu kereta jenis Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan kejadian yang berlaku di Jalan Kampung Bukit Tangga, Langkawi, Selasa lalu, hampir siap dan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri sebaik polis menerima laporan perubatan daripada pihak hospital.

“Setakat ini, polis telah merakam keterangan ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan. Selain itu, polis juga telah merakam keterangan lima individu lain iaitu tiga saksi di tempat kejadian, seorang anggota polis yang tiba di tempat kejadian dan datuk kepada kanak-kanak itu.

“Kanak-kanak itu juga akan dirujuk ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah untuk mendapatkan keterangan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selasa lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Langkawi dikesan memandu Toyota Vios sejauh kira-kira 2.5 kilometer sebelum melanggar tiang lampu dan menyebabkan kanak-kanak itu luka di bahagian dagu .

Adik lelakinya yang berusia tiga tahun yang turut menaiki kenderaan itu bagaimanapun tidak cedera.

Loading...
Terkini