comscore
Tumpuan :
Nasional

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Pagi Ini 

KUALA LUMPUR– Bursa Malaysia melantun semula untuk bergerak lebih tinggi pada sesi awal dagangan pagi ini, sejajar dengan prestasi kebanyakan pasaran serantau.

Pada jam 9.25 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.82 mata atau 0.48 peratus kepada 1,419.86 daripada 1,413.04 pada penutup urus niaga Isnin.

Bagaimanapun, indeks utama itu dibuka 0.18 mata lebih rendah pada 1,412.86.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 240 berbanding 144, manakala 241 kaunter tidak berubah, 1,772 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 336.26 juta unit bernilai RM179.32 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berpendapat bursa tempatan dijangka menyaksikan keadaan tidak menentu yang kian meruncing berikutan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global apabila Wall Street merosot dengan lebih ketara dalam pasaran yang begitu lemah.

“Sektor tenaga dan perladangan juga mungkin berdepan jualan selanjutnya kerana harga komoditi masih meneruskan pergerakan menurun.

“Sebaliknya, memandangkan ringgit telah susut melepasi RM4.60 berbanding dolar AS, kami percaya ia akan memberi manfaat kepada syarikat berorientasikan eksport sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat,” kata firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan hari ini. -BERNAMA

Loading...
Terkini