comscore
Tumpuan :
Nasional

Cabaran ibu bekerja syif: Kerjaya atau keluarga?

Oleh: Najwa Azaha

“Kadang-kadang seharian tidak berjumpa anak-anak langsung.”

Itu pengakuan lumrah setiap ibu berkerjaya terutama yang terikat dengan tugasan secara syif. 

Tidak mudah buat ibu-ibu yang bekerja apabila perlu mengorbankan masa bersama anak-anak demi komitmen kerja.

Sempena sambutan Hari Ibu, kami mendekati golongan ibu yang menghadapi cabaran dalam membesarkan anak-anak disamping kesibukan bekerja. 

KESUKARAN MENCARI PENGASUH, DILEMA IBU BEKERJA

Suzila (tengah) bersama anak sulungnya Sayyid Ozil (kiri) dan anak keduanya Sayyid Orhan (kanan).

“Kebanyakan pengasuh tidak mahu menerima anak-anak kami atas alasan kami bekerja syif.”

Itu antara dilema didepani Suzila Idayu Yaacob yang terikat dengan tugasan secara syif.

Lebih mencabar, bukan sahaja Suzila, tetapi suaminya juga bekerja secara syif, menyukarkan lagi pencarian pengasuh.

Hal ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya, memikirkan kebajikan anak-anak. 

Katanya, kebanyakan pengasuh enggan mengambil risiko untuk menerima anak-anaknya yang berkemungkinan akan dihantar awal pagi dan dijemput lewat malam. 

Tambah Suzila, walaupun telah menawarkan bayaran lebih tinggi, pengasuh enggan menerimanya.

TIDAK BERPELUANG BERJUMPA ANAK

“Perasaan sebagai seorang ibu sangat menyeksakan. Hati saya menangis,” itu luahan wartawan penyiaran ini apabila membayangkan perasaan anak-anaknya tidak dapat berjumpa dengannya seharian. 

Lebih-lebih lagi jarak perjalanan dari rumah ke tempat kerja yang agak jauh, menyebabkan masa yang sepatutnya diluangkan bersama anak-anak, lebih banyak dihabiskan di tempat kerja. 

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan terpaksa ikhlaskan hati saya untuk reda,” kata Suzila yang mempunyai alasan tersendiri untuk bekerja, walaupun hakikatnya dia ingin membesarkan anak-anak sendiri tanpa menghantar kepada pengasuh.  

Suzila Idayu Yaacob, wartawan penyiaran

Harapan dan cadangannya bagi meringankan beban ibu bapa yang mempunyai nasib yang sama adalah keprihatinan majikan atau syarikat tempat bekerja agar boleh menyediakan tempat asuhan untuk anak-anak staf yang memerlukan.

“Saya yakin mana-mana pekerja yang sudah berkeluarga merasakan tempat asuhan yang disediakan oleh majikan adalah salah satu cara untuk meringankan beban mereka. Bukan sahaja dari segi kos, malah fikiran mereka (staf) untuk datang bekerja juga lebih tenang dan tidak terganggu.”

ANAK JATUH SAKIT, IBU TIADA DI SISI 

Setiap ibu bapa pasti ingin memberikan yang terbaik kepada anak-anak walaupun terpaksa berkorban masa dan tenaga. 

Syifaa Syazwani yang sudah bekerja syif selama 8 tahun mendedahkan telah mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk menyesuaikan diri mengurus keluarga dengan sempurna, apabila berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Beliau juga terpaksa berkorban masa untuk negara, berbanding anak tercinta. 

Waktunya bersama anak-anak sangat terhad dan cuti rehat adalah satu-satunya masa yang ada untuk bersama anak-anak. 

Lebih terkilan, anak kesayangannya jatuh sakit namun beliau tiada di sisi.

Syifaa Syazwani Norizan (kanan) bersama suami Muhamad Arif (kiri) dan anak sulungnya Muhamad Arsyad Iman (tengah).

“Pernah satu hari Iman (anak) demam dan muntah-muntah teruk, tetapi saya tidak ambil cuti kerana baru sahaja bertukar tempat kerja,” katanya. 

Tambah Syifa, dia beruntung kerana mempunyai suami yang dapat membantu menguruskan anak sepanjang ketiadaannya. 

Walau pelbagai cabaran dan dugaan ditempuhi, sokongan daripada suami membuatkannya lebih kuat untuk meneruskan kerjaya.

Syifa juga berharap keprihatinan daripada pegawai-pegawai atasan di luar sana dapat diberikan sewajarnya kepada ibu-ibu yang mempunyai anak kecil, lebih-lebih lagi apabila anak mereka jatuh sakit. 

RINDU, NAMUN TIADA TENAGA UNTUK MELAYAN ANAK

“Pada awalnya, saya terkontang-kanting dalam menguruskan anak-anak sebab saya baru sahaja menjadi ibu tunggal…jadi banyak benda yang saya tak dapat nak kejar.”

Itu luahan seorang ibu tunggal yang berusaha sedaya upaya membesarkan dua orang cahaya mata, di samping terikat bekerja secara syif. 

Bagi Nur Najiha Azaha, bekerja sebagai pencipta kandungan di mata masyarakat kelihatan mudah dari segi masa yang fleksibel, namun realitinya berbeza. 

Waktu cuti yang singkat membataskan lagi masanya untuk bersama anak-anak. 

Najiha Azaha bersama anak sulungnya Hana Sofia (kiri) dan anak keduanya Hawa Safiya (kanan).

“Saya cuti sehari seminggu sahaja, jadi apabila penat bekerja selama enam hari, waktu cuti yang sepatutnya saya luang bersama anak-anak jadi terbuang sebab saya ingin berehat.

“Kadang-kala jika saya terlampau penat, saya akan hantar anak-anak di taska, tetapi tidaklah setiap minggu. Saya ingin bersama mereka juga,” katanya. 

Apabila pulang kerja lewat malam, Najiha tidak berkesempatan berjumpa dengan anak-anak.

“Setiap hari saya rindukan anak-anak walaupun kami tinggal bersama. Sampai tempat kerja, saya pasti rindukan mereka.”

Walaupun masa diluangkan bersama anak terbatas, Najiha cuba menggunakan waktu itu sebaiknya.

Harapannya, agar ibu-ibu yang senasib kuat menjalani kehidupan dalam membesarkan anak-anak.

PANDUAN MENGURUS KERJA DAN KELUARGA BUAT IBU BERKERJAYA

Mencari keseimbangan antara keluarga dan kerjaya adalah cabaran besar buat ibu-ibu yang bekerja di era ini.

Namun, bukan sesuatu yang mustahil untuk memastikan urusan rumah tangga tidak menjejaskan prestasi kerja, jika mereka bijak dalam mengatur dan merancang masa.

Berikut adalah tip-tip yang dikongsikan Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi & Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Hazaila Hassan:

♦ Kemahiran pengurusan

Bagi memastikan segala kerja-kerja harian teratur dengan baik, ibu-ibu perlu memiliki kemahiran dalam pengurusan.

Oleh itu, rancang perkara yang ingin dilakukan dengan membuat jadual pengurusan rumah dan jadual kerja yang tersusun.

Hal ini sedikit sebanyak membantu ibu-ibu agar kerja-kerja seharian teratur dan tidak akan ada yang tercicir.

♦ Penjagaan kendiri (fizikal, emosi, pemikiran dan tingkah laku)

Ibu berkerjaya perlu memberi ruang untuk penjagaan kendiri. Ianya sangat diutamakan dalam mendapat kesihatan dan kesejahteraan yang baik.

Walau sesibuk manapun tugas di tempat kerja dan di rumah, buka ruang dan beri peluang pada diri untuk ‘me time‘ agar fizikal dan emosi terjaga.

♦ Kerjasama sesama pasangan

Pengurusan rumah adalah tanggungjawab bersama suami isteri agar perihal rumah terjaga dengan baik.

Kesefahaman antara pasangan perlu dipupuk agar dapat meringankan beban dalam pengurusan rumah tangga.

♦ Keseimbangan peranan kerjaya dan rumahtangga (Work-Life balance)

Peranan ‘dual role’ yang dibawa oleh wanita berkerjaya pastinya menuntut komitmen yang tinggi bagi memastikan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

Oleh itu, wanita sangat perlu mengasingkan ‘topi’ mereka. Pengasingan ini penting agar bebanan perasaan dan tanggungjawab dapat diatur dengan sebaiknya.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi & Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Hazaila Hassan

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini