comscore
Tumpuan :
Nasional

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia dibentang di kabinet esok – Steven Sim

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong beramah mesra dengan pemandu OKU Grab selepas melancarkan simbolik pelancaran skim tajaan caruman skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri dan pertukaran MoU antara Kasuma Perkeso bersama Grab Malaysia di Royal Chulan, Kuala Lumpur.-Foto: NSTP.

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan membentangkan nota pertama mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia pada mesyuarat kabinet yang dijadual diadakan esok.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata pembentangan nota pertama membabitkan laporan interim cadangan berkenaan bertujuan memperoleh kelulusan daripada jemaah menteri.

Seterusnya, beliau berkata nota pertama itu akan diperinci berpandukan maklum balas diterima daripada jemaah menteri, sebelum nota berkenaan dijangka dilengkapkan menjelang Ogos depan.

“Saya tahu pekerja e-hailing dan p-hailing menunggu penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia ini. Ia adalah usaha kerajaan untuk membela pekerja gig.”

“Penubuhan suruhanjaya ini bertujuan memastikan pekerja sektor berkenaan akan mendapat pembelaan, bukan sahaja dari segi gaji tetapi termasuk kebajikan, perlindungan keselamatan sosial, isu kilanan (tidak puas hati) dan bantuan kerjaya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tajaan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Pertukaran Memorandum Persefahaman antara KESUMA, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Grab Malaysia.

Menurut Steven, siri dialog bersama pihak berkenaan juga akan diadakan ketika proses perincian dibuat bagi memastikan penubuhan suruhanjaya ini dapat mencapai matlamatnya.

Media sebelum ini, melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya penubuhan Suruhanjaya Pekerja GIG disegerakan untuk membela nasib pekerja berkenaan.

Penubuhan suruhanjaya itu bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig, dengan tumpuan adalah memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

Pada Mei lalu, KESUMA dilaporkan sudah menggariskan enam kerangka penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig termasuk menggubal perundangan baharu.

Kerangka itu turut membabitkan mekanisme kilanan, struktur dan fungsi suruhanjaya, implikasi kewangan, penentuan kadar upah, perlindungan keselamatan, sosial dan kesihatan pekerjaan serta pangkalan data bersepadu bagi pendaftaran pekerja gig dan penyedia platform.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini