comscore
Tumpuan :
Nasional

CAKE desak siasatan terperinci terhadap pengilang, pemborong beras

Presiden CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff melakukan tinjauan bekalan beras di Pasar Besar Alor Setar

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mendesak kerajaan untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap pengilang dan pemborong beras, bagi menyekat sebarang aktiviti manipulasi penjualan beras tempatan.

Presiden CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya mendapat aduan kekurangan bekalan beras tempatan sejak tiga bulan lalu, dipercayai kecenderungan pengilang dan pemborong mencampur beras itu dengan beras import untuk dijual.

“Ia adalah satu penipuan jika benar berlaku aktiviti mencampur beras tempatan dengan beras import, untuk dijual pada harga yang tidak dikawal. Tindakan ini membebankan pengguna kerana bekalan beras tempatan mula berkurangan di pasaran.”

“Kerajaan melalui pihak Kawalselia Padi dan Beras bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu menguatkuasakan undang-undang supaya penyelewengan sedemikian tidak berlaku,” katanya.

CAKE juga mencadangkan supaya diadakan penyelesaian jangka masa pendek dengan pengasingan operasi kilang-kilang yang memiliki Permit Import (AP) dengan kilang pembungkusan beras tempatan.

“Kalau ianya ditempatkan di satu gudang yang sama, maka pihak penguatkuasaan akan berhadapan kesukaran melakukan pemantauan. Pengasingan ini akan memudahkan operasi kilang ini dipantau dengan lebih mudah.”

“Cadangan lain adalah dengan tidak membenarkan pembungkusan semula beras import dilakukan di sini. Biarlah beras import dijual dengan bungkusan dari negara asal,” katanya.

Penyelesaian jangka masa panjang pula katanya, adalah dengan memperkemas sistem pengeluaran padi dengan pembekalan benih yang berkualiti.

Langkah ini katanya penting dalam memastikan negara mempunyai keupayaan untuk membekal beras, tanpa kebergantungan kepada negara luar yang boleh menghentikan eksport mereka pada bila-bila masa.

Yusrizal berkata demikian selepas melakukan tinjauan bekalan beras di Pasar Besar Alor Setar, di sini hari ini.

Loading...
Terkini