comscore
Tumpuan :
Nasional

Syarikat masih gagal bayar tunggakan gaji pekerja asing di Pengerang bakal didakwa

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka ke atas syarikat yang masih gagal melunaskan pembayaran tunggakan gaji lebih RM1 juta kepada pekerja asing di Pengerang, Johor.

 

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan, daripada jumlah itu, empat daripadanya telah mendapat izin dakwa dan selebihnya diberi arahan lanjut.

“Selain itu, kuota pengambilan pekerja asing bagi syarikat tersebut turut telah dibatalkan dan majikan disenarai hitam dari permohonan penggajian pekerja asing baharu,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, media melaporkan, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah menjalankan prosiding pendengaran tuntutan kes buruh melibatkan seramai 733 pekerja asing warga Bangladesh di Pengerang yang dibawa masuk ke negara ini secara sah tetapi gagal diberikan pekerjaan.

Kes berkenaan telah dijalankan bukan dalam mahkamah buruh seperti biasa sebaliknya berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai, Pengerang pada 5 Februari lalu mengambil kira jumlah pekerja yang ramai.

Prosiding itu turut disaksikan pegawai dari Kedutaan Bangladesh.

Pada prosiding tersebut, pihak syarikat telah diarahkan dan bersetuju untuk membuat pembayaran tunggakan gaji sejumlah RM1,035,557.50 kepada pekerja asing terbabit.

Mengulas lanjut, KESUMA berkata, majikan diberi tempoh 45 hari untuk melunaskan pembayaran tunggakan gaji, namun didapati masih tidak membuat sebarang pembayaran.

“Susulan kes ini, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor kini dalam proses menguatkuasakan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Buruh dengan tindakan pendakwaan ke atas majikan di Mahkamah Seksyen di bawah Seksyen S69(4) Akta Kerja 1955.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 bagi setiap kesalahan dan perlu membayar tunggakan pekerja terlibat,” menurut kenyataan itu.

Jelas KESUMA, seramai 692 pekerja asing yang terbabit telah diberikan pekerjaan melalui Proses Pertukaran Majikan (PTM) Khas.

Pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar perundangan perburuhan bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa terjamin.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan atau organisasi yang didapati melanggar hak pekerja.

Loading...
Terkini