comscore
Tumpuan :
Nasional

Carum SSPN tiada dalam senarai pelepasan cukai tahun ini

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi (kiri) disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (kanan) ketika lawatan ke Media Prima di Sri Pentas Bandar Utama, Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pembayar cukai yang mencarum dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu hingga RM8,000, mulai Tahun Taksiran 2023.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata ia selaras dengan keputusan kerajaan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN susulan pelbagai alasan.

“Kerajaan sebelum ini, memang beri potongan cukai kepada pencarum SSPN sebagai galakan, terutama kepada ibu bapa untuk mencarum bagi pendidikan anak mereka dengan kemudahan ini disambung beberapa kali hingga 2022.

“Namun, ia dihentikan tahun ini. Kalau simpan (SSPN) tahun ini, tiada potongan cukai atau ‘relief’ pada tahun hadapan. Keputusan ini dibuat kerajaan atas dasar dan keadaan bersesuaian,” katanya pada sidang media hari ini.

Ditanya kemungkinan pencarum berhenti mencarum susulan perkembangan itu, beliau berkata, pihaknya akan menyampaikan pandangan orang ramai kepada kerajaan bagi memastikan dasar berkenaan selari dengan keperluan rakyat.

“Ini (cadangan untuk mengkaji semula keputusan menghentikan insentif berkenaan) adalah di pihak rakyat. Kalau mahu lihat semula (pemotongan cukai) dan sebagainya, ia perlu datang daripada rakyat.

“Di peringkat LHDN, kita adalah pihak pelaksana bagi setiap dasar diputuskan kerajaan. Namun, kita juga akan sampaikan pandangan orang ramai supaya setiap dasar selari dengan nadi rakyat,” katanya.

Mengenai gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya LHDN memastikan golongan ‘maha kaya’ tidak culas membayar cukai, Mohd Nizom berkata, proses berkenaan dilakukan secara berterusan, selari fungsi dan objektif pihak berkuasa percukaian itu.

“Kita anggap gesaan Perdana Menteri ini sebagai peringatan kepada pihak yang culas membayar cukai. LHDN sentiasa memastikan semua pembayar cukai membayar jumlah sepatutnya.

“Ia (proses mengesan golongan culas membayar cukai) berlaku secara berterusan. Kalau jumpa satu pihak hari ini, mungkin ada lagi pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas syor mewujudkan analisis kekayaan bagi golongan ‘maha kaya’, beliau bagaimanapun berkata, model sedia ada sudah memadai bagi mengesan pihak yang culas membayar cukai.

“Sebenarnya setiap individu perlu menyimpan dokumen berkaitan kewangan kerana apabila ditanya atau perlu menjelaskannya kepada LHDN, mereka ada maklumat.

“Dia (tanggungjawab semua pembayar cukai) sama, cuma jumlah (pendapatan) kita mungkin kurang jika dibandingkan dengan golongan ‘maha kaya’,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, LHDN akan meneliti ruang bagi menjalin kerjasama strategi bagi memanfaatkan saluran media di MPB untuk meningkatkan kesedaran membayar cukai.

Loading...
Terkini