comscore
Tumpuan :
Nasional

LHDN rangka garis panduan pelaksanaan sistem e-invois

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri LHDN akan merangka satu garis panduan pelaksanaan e-invois bagi memudahkan pelaksanaan sistem berkenaan bermula tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Hisham Rusli berkata, garis panduan terbabit akan mengariskan kaedah pelaksanaan sistem berkenaan selain integrasi sistem itu dengan sistem perakaunan syarikat-syarikat terlibat.

“Kita sedang merangka garis panduan berhubung perkara ini dan kita jangkakan yang garis panduan ini kita akan keluarkan selewat-lewatnya mungkin pada hujung bulan Julai ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri sesi libat urus pelaksanaan e-invois bersama pengamal percukaian dan badan profesional di Kuching.

Menurut Hisham, pelaksanaan sistem terbabit akan melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan jualan RM100 juta ke atas bermula 1 Januari tahun hadapan sebagai projek rintis sebelum pelaksanaan secara mandatori bermula 1 Jun tahun sama.

Manakala bagi pelaksanaan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) beliau memberitahu sejumlah 7.8 juta pembayar cukai baharu telah didaftarkan oleh LHDN sehingga kini.

Katanya, nombor TIN itu didaftarkan secara automatik bagi melibatkan pembayar cukai warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas walaupun remaja terbabit masih belum mempunyai sebarang pekerjaan.

“Semakan nombor pengenalan terbabit boleh dilakukan terus menerusi laman sesawang LHDN iaitu mytax.hasil.gov.my terus kepada pejabat lembaga terbabit,” katanya.

Loading...
Terkini