comscore
Tumpuan :
Nasional

COVID-19: Jangan terlalu cemas, patuhi SOP – Dzulkefly

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan kes baharu COVID-19 dijangka meningkat selepas cuti sempena Tahun Baharu Cina bulan depan.

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meminta orang ramai untuk tidak terlampau panik dengan ramalan berkenaan, sebaliknya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan yang ditetapkan.

“Jangan ambil selesa (berhubung COVID-19) tapi kita tidak perlu menjadi ‘alarmist’ (terlalu cemas) pula. Kita tidak (perlu) gusar tapi perlu berhati-hati. Kita punya SOP yang sudah dinormalisasikan.

“Bagi mereka yang batuk pastikan mereka melindungi orang lain dengan memakai pelitup muka,” katanya yang ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 KKM, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian diminta mengulas unjuran KKM mengenai kes baharu COVID-19 selepas cuti Tahun Baharu Cina yang bermula pada 10 Februari ini.

Lazimnya, kes jangkitan COVID-19 diramal meningkat setiap kali perayaan susulan pergerakan dan perjumpaan sanak saudara dan sahabat handai ketika perayaan.

Pada masa sama, Dzulkefly turut mahu orang ramai terutama golongan rentan mengambil langkah berjaga-jaga dengan terus mengelak 3C iaitu kawasan yang sesak (crowded place), kawasan yang sempit (confined space) dan sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

“Kita dalam apa yang dikatakan istilah ‘living with the virus’ (berada bersama virus) dan kita amalkan langkah berjaga-jaga. Jangan terlalu selesa tetapi tidak perlulah juga terlampau ‘alarmist’ hinggakan tergendala ‘livelihood’ (kelangsungan hidup). Jangan sampai begitu,” katanya.

Mengulas lanjut, Dzulkefly bersyukur kes COVID-19 menyaksikan trend penurunan pada bulan ini seperti yang dijangka.

Untuk rekod, kes COVID-19 bagi Minggu Epidemiologi ke-51 (ME 51/2023) iaitu bagi tempoh 17 hingga 22 Disember tahun lalu meningkat kepada 22,413 kes berbanding 17,307 kes pada minggu sebelumnya.

Loading...
Terkini