comscore
Tumpuan :
Dunia

Jakarta laksana suntikan vaksin COVID-19 berbayar tahun depan

Foto hiasan

JAKARTA: Perkhidmatan Kesihatan di Indonesia akan melaksanakan suntikan vaksinasi COVID-19 berbayar mulai 1 Januari 2024.

Justeru, kerajaan negara itu mengingatkan orang ramai supaya segera melengkapkan vaksinasi di perkhidmatan kesihatan terdekat, sementara ia masih percuma, lapor agensi berita Antara.

Ketua Perkhidmatan Kesihatan Jakarta, Ani Ruspitawati, berkata mulai 1 Januari 2024, orang ramai wajib membayar bagi vaksin COVID-19 dan ia terpakai untuk semua dos vaksin.

Bagaimanapun, warga emas dan kumpulan yang terdedah masih akan menerima vaksin COVID-19 percuma.

Ruspitawati bagaimanapun masih belum memperincikan kos yang akan dikenakan bagi setiap dos vaksin kerana pihaknya masih menunggu mekanisme perkhidmatan dan teknikal daripada Kementerian Kesihatan negara itu.

“Mungkin ia akan disalurkan kepada orang ramai melalui mekanisme perkhidmatan biasa seperti vaksin berbayar lain. Bagaimanapun, kita masih perlu menunggu peraturan kementerian,” katanya.

Sehingga akhir 2023, beliau mengesahkan semua vaksin COVID-19 masih percuma dan boleh didapati di semua pusat kesihatan daerah di Jakarta.

Pemerintah wilayah Jakarta turut mengingatkan orang ramai supaya melengkapkan vaksinasi COVID-19, memakai pelitup serta menjaga kesihatan bagi mencegah penularan virus di tengah-tengah musim cuti Tahun Baharu.

Selain itu, Kementerian Kesihatan turut menggesa orang ramai terus memakai pelitup muka, mengamalkan gaya hidup bersih dan sihat bagi mengelak potensi lonjakan kes coronavirus, terutama dalam kalangan warga emas dan orang yang tidak divaksin.

Terdahulu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengingatkan orang ramai bahawa rawatan pesakit COVID-19 tidak lagi dilindungi pemerintah memandangkan status penyakit itu telah bertukar daripada pandemik kepada endemik.

“Jika anda dijangkiti COVID-19 semasa endemik, anda perlu membayar untuk rawatan,” katanya di Bogor, Jawa Barat, pada Jun.

Jokowi turut menyatakan  pengendalian COVID-19 adalah tugas paling sukar yang dihadapinya semasa pentadbiran beliau. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini