comscore
Tumpuan :
Nasional

Saudi hadkan kunjungan ke Raudah Masjid Nabawi, hanya sekali setahun

FOTO: NSTP

RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan langkah mengehadkan kunjungan ke Raudah di dalam Masjid Nabawi iaitu hanya sekali dalam setahun bagi setiap jemaah.

Pengumuman itu dibuat melalui platform X Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 21 Disember lalu.

Ia sekali gus akan memberi kesan kepada jemaah umrah dan haji dari seluruh dunia.

Langkah itu diambil kerana kerajaan menjangkakan menerima 10 juta jemaah dari luar negara untuk melakukan umrah pada musim ini.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata seorang jemaah hanya boleh membuat tempahan untuk masuk ke Raudah selepas 365 hari dari permit terakhir mereka.

”Langkah itu diperkenalkan sebagai maklum balas kepada banyaknya jumlah tempahan permit ke Raudah, lapor agensi berita Gulf News.

Ia juga bertujuan untuk mengatur dan menyusun akses ke Raudah, sebuah kawasan yang dianggap sangat suci dalam Islam.

Untuk mendapatkan akses, jemaah perlu menggunakan aplikasi Nusuk atau Tawakkalna, selain mereka juga harus memastikan   tidak mempunyai jangkitan COVID-19 atau tidak bersentuhan dengan orang yang telah dijangkiti COVID-19.

Pihak berkuasa Arab Saudi menekankan pentingnya tempahan yang teratur dan kepatuhan kepada jadual  ditetapkan untuk mengunjungi Raudah demi memastikan pengalaman ziarah teratur dan penuh hormat.

Pelancaran aplikasi Nusuk dan Tawakkalna oleh pihak kementerian adalah tanggungjawab untuk memberi khidmat kepada jemaah menerusi pengeluaran permit yang diperlukan bagi menunaikan umrah, melawat Raudah di Masjid Nabawi, Madinah mengikut kapasiti  diluluskan pihak berkuasa itu. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini