comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas: KEMAS beri kelonggaran tangguh pelajaran anak

Ahmad Kamal (dua dari kanan) ketika menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Program Jom Masuk Kampung KEMAS, hari ini. – FOTO: NSTP

BACHOK: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memberi kelonggaran kepada ibu bapa untuk tidak menghantar anak mereka ke tabika dan taska di musim panas ketika ini.

Ketua Pengarahnya, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, ia membabitkan 218,000 kanak-kanak yang belajar di dua pusat pengajian kemas itu di seluruh negara masing-masing 10,800 di tabika dan 550 taska.

Katanya, pihaknya memahami kebimbangan ibu bapa mengenai keselamatan dan kesihatan anak-anak terutamanya jika ada aktiviti di luar kelas.

“Mereka boleh tangguh anak-anak belajar. Kita juga sudah keluarkan surat arahan pentadbiran Bilangan 7 pada 27 April lalu berkenaan situasi musim panas kepada guru tabika dan taska seluruh negara,” katanya ketika ditemui dalam Program Jom Masuk Kampung Peringkat Negeri Kelantan, di Kubang Telaga, hari ini.

Beliau berkata, antara pendekatan yang diambil KEMAS adalah tidak membenarkan aktiviti luar darjah jika suhu mencecah 35 hingga 37 darjah celsius.

Malah, guru juga diminta untuk memastikan kawasan belajar mempunyai pengudaraan lebih seperti membuka tingkap serta lebih peka dengan keadaan murid dan menggalakkan mereka kerap minum air kosong.

“Jika suhu mencecah 40 darjah celsius ke atas, kita akan pertimbangkan untuk menutup terus tabika dan taska sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini KEMAS ada menerima beberapa laporan dari tabika dan taska di beberapa negeri berhubung situasi cuaca panas.

Terdahulu, seramai 700 guru KEMAS dan penduduk kampung memeriahkan program Jom Masuk Kampung KEMAS yang berlangsung selama tiga hari dua malam.

Loading...
Terkini