comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca Panas: Periksa kenderaan secara berkala

Oleh Nur Ain Zulfah Yahya

PETALING JAYA: Cuaca panas melampau boleh mengakibatkan kerosakan pada kenderaan, bukan hanya pada permukaan yang terdedah kepada sinaran matahari, malah komponen dalaman yang lain.

Pengarah Automotif TIC (TAJ International College), Azad Jasmi, berkata kenderaan hendaklah dijaga dengan baik terutamanya kenderaan yang sudah lama bagi mengelakkan risiko berlakunya kebakaran berikutan cuaca panas yang melanda ketika ini.

Pengarah Automotif TIC (TAJ International College), Azad Jasmi

“Apabila cuaca melampau, bagi kenderaan baharu satu hingga lima tahun masih boleh bertahan. Tetapi kenderaan yang sudah lama, hos air, penyaman udara, sistem penyejukan dan sebagainya mungkin akan menghadapi masalah.”

“Kerana kita sentiasa ‘full blast’ penyaman udara kita. Kadang-kala akan menghadapi masalah, jadi pergilah periksa tentang sistem penyejukan penyaman udara, sistem penyejukan kenderaan juga dari segi cooler, radiator, sistem enjin dan sebagainya.“ katanya.

Oleh demikian, Azad berkongsi beberapa tips penjagaan kenderaan yang dapat membantu menjaga keselesaan dan prestasi kenderaan anda ketika cuaca panas.

1. Hindari barang mudah terbakar di dalam kenderaan

Jangan tinggalkan barang-barang yang mudah terbakar di dalam kenderaan seperti powerbank, minyak wangi, botol bergas dan sebagainya. Suhu tinggi boleh meningkatkan risiko kebakaran

2. Pilih tempat letak kereta yang teduh

Letak kenderaan di tempat yang terlindung daripada sinar cahaya matahari, seperti di bawah pokok atau dalam garaj bagi mengurangkan suhu terperangkap di dalam kereta.

3. Periksa tekanan tayar

Pastikan tekanan udara tayar berada pada paras yang disyorkan oleh pengeluar bagi mengelakkan tekanan tayar yang terlalu rendah sehingga menyebabkan pemanasan berlebihan dan merosakkan tayar.

4. Guna kain atau penutup tempat duduk

Jika tempat duduk kenderaan terdedah kepada sinar matahari, anda boleh menutupinya dengan kain atau penutup khas untuk melindungi daripada panas berlebihan. Langkah ini juga membantu mencegah tempat duduk menjadi terlalu panas ketika anda masuk ke dalam kenderaan.

5. Guna penutup cermin matahari

Pasang penutup cermin matahari ketika meletakkan kenderaan anda di tengah panas bagi menghalang sinaran matahari terus dan membantu mengekalkan suhu dalam kenderaan lebih rendah.

6. Pastikan cecair pencuci cermin mencukupi

Panas boleh menyebabkan pengeringan cepat cecair pencuci cermin. Pastikan cecair pencuci cermin yang berkesan dan berkualiti untuk menjaga cermin kenderaan tetap bersih dan jelas.

Foto hiasan

Azad turut berkongsi tips untuk pemandu ketika musim panas.

1. Minum air secukupnya

Minum air secara berkala membantu menjaga hidrasi tubuh anda dan mengurangkan risiko dehidrasi.

2. Gunakan pakaian selesa

Pilih material dry-fit atau cotton, ketika memandu di bawah cuaca panas.

3. Gunakan kaca mata hitam

Memakai kaca mata hitam yang berkualiti membantu melindungi mata anda daripada sinar matahari yang terang dan mengurangkan silau semasa memandu di bawah cuaca panas.

4. Gunakan pelindung matahari di tingkap

Pasang pelindung matahari atau penutup jendela di tingkap kenderaan anda bagi mengurangkan jumlah sinar matahari yang masuk ke dalam kenderaan sekaligus dapat mengekalkan suhu dalam kenderaan sejuk.

5. Berhenti dan berehat secara berkala

Jika perjalanan anda panjang, adalah penting untuk berhenti dan berehat secara berkala untuk memberi tubuh anda peluang untuk melepaskan panas berlebihan. Manfaatkan tempat perhentian atau stesen perkhidmatan untuk berehat sejenak dan merehatkan diri.

Sementara itu, Azad turut memberi saranan kepada para pemandu supaya cakna terhadap tingkap kenderaan bagi mengelakkan wap haba terkumpul dalam kenderaan sehingga menyebabkan suhu kenderaan meningkat.

“Ketika memandu turunkan sedikit cermin kereta kerana udara panas boleh keluar melalui tingkap” katanya.

Diharapkan perkongsian ini dapat membantu anda menjaga kenderaan ketika menghadapi musim panas.

Loading...
Terkini